Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia menolak politik kebencian dan perpecahan bagi memastikan negara terus aman, stabil serta dihormati di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya majoriti rakyat yang cintakan keamanan tampil mempertahankan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan perpaduan antara kaum serta agama.
“Cukuplah politik kebencian dan perpecahan. Sudah sampai masanya rakyat Malaysia menentukan arah negara ini dengan hati nurani, kasih sayang dan semangat hormat sesama manusia,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Wesak dan Program Harmoni MADANI anjuran Majlis Perundingan Buddhis Malaysia (MBCC) di ibu negara hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Presiden MBCC, K. Sri Dhammaratana.
Anwar berkata, Malaysia sejak penubuhannya dibina atas asas kepelbagaian kaum dan agama, justeru budaya saling menghormati perlu terus diperkukuhkan dalam kerangka Malaysia MADANI.
Menurut beliau, konsep MADANI bukan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, teknologi dan kecerdasan buatan, tetapi turut menekankan nilai moral, etika dan kemanusiaan yang berpaksikan ajaran agama.
“Kita mahu pembangunan, inovasi dan teknologi tetapi dalam masa sama kita mesti kekal manusiawi dengan nilai belas ihsan, hormat dan kasih sayang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua agama mengajar nilai keamanan dan rahmah, bukannya kebencian atau permusuhan.
“Dalam Islam misalnya, kita diajar tentang rahmah dan kasih sayang. Dalam ajaran Buddha pula ada konsep metta dan karuna. Tetapi malangnya hari ini yang sering ditonjolkan ialah kebencian dan permusuhan,” ujarnya.
Anwar mengakui masih terdapat segelintir pihak memainkan sentimen kaum dan agama sehingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat, namun menegaskan suara ekstrem tidak boleh mengatasi kehendak majoriti rakyat yang mahu keamanan dan kestabilan.
Beliau berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, menarik pelaburan, meningkatkan mutu pendidikan dan menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
“Tak bolehkah kita bantu semua rakyat yang susah tanpa mengira kaum sebagai satu keluarga besar Malaysia?” soalnya.
MCMC arah turunkan lebih 271,000 kandungan scam dan judi online
MCMC perkukuh kerjasama banteras scam dalam talian dengan GASA: Fahmi
Banyak akaun palsu digunakan untuk hasilkan kandungan 3R: Fahmi
FINAS, TikTok Malaysia lancar Program Belia Kreatif
Dana RM5 juta galak belia hasilkan karya kreatif, boleh mohon 1 Jun: Fahmi
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan