Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Damai KL antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Kuala Lumpur sebelum ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi membincangkan beberapa isu utama, termasuk konflik di sempadan Kemboja–Thailand, hubungan dua hala serta perkembangan global yang menjadi kepentingan bersama.
Anwar berkata, dalam perbualan itu beliau menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten menggesa kedua-dua pihak terlibat supaya menahan diri dan mengutamakan penyelesaian secara aman melalui dialog.
“Malaysia menggalakkan Kemboja dan Thailand kembali ke meja rundingan menggunakan saluran dua hala serta kerangka ASEAN,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia kekal komited untuk membantu meredakan ketegangan dan memastikan keselamatan orang awam terus dilindungi.
“Keutamaan kami adalah kestabilan serantau dan hubungan kejiranan yang baik, selari dengan prinsip asas ASEAN,” jelasnya.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar turut memaklumkan Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai situasi semasa dan menyokong usaha penyaheskalasian konflik.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan tindakan kolektif dan terselaras dapat diambil oleh negara anggota.
Dalam perbualan sama, Anwar merakamkan penghargaan terhadap penglibatan aktif Amerika Syarikat dalam ASEAN serta kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
“Sokongan rakan strategik seperti Amerika Syarikat penting untuk memastikan keamanan dan kemakmuran rantau ini terus terpelihara,” katanya.
Panggilan tersebut mencerminkan peranan Malaysia yang semakin menonjol dalam diplomasi serantau dan komitmen berterusan negara itu untuk memacu penyelesaian aman terhadap konflik di Asia Tenggara.
AI hanya alat, bukan pengganti pengkarya: Fahmi
27 barangan dikawal sempena Aidilfitri
Penjawat awam rugi RM342,400 terperdaya phone scam
Lembaga disiplin JPA teliti laporan isu saham Azam Baki
Lebih banyak berita baik bakal diumum PM sebelum Aidilfitri: PMO
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan