Aplikasi navigasi tempatan, TuJu.
Kerajaan akan menambah baik aplikasi navigasi tempatan, TuJu, susulan maklum balas pengguna yang mendakwa aplikasi itu masih mempunyai kelemahan untuk dijadikan alternatif kepada Waze.
Menteri Digital Gobind Singh Deo, berkata beberapa penambahbaikan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh fungsi TuJu, termasuk memperluas liputan maklumat trafik supaya tidak terhad kepada pemantauan lebuh raya sahaja.
Beliau mengakui keupayaan aplikasi itu perlu dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan pengguna, khususnya dalam mendapatkan maklumat trafik yang lebih menyeluruh dan tepat.
“Saya juga bersetuju dengan perkara yang dibangkitkan, iaitu ramai yang menyatakan perkhidmatan ini perlu diperkukuh lagi. Itulah perkara yang dalam perhatian kita,” katanya ketika menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, mengenai tahap kesediaan TuJu sebagai alternatif kepada Waze.
Menurut Gobind, fungsi TuJu turut diperluas untuk menyediakan maklumat aliran trafik di jalan raya yang menghala ke lebuh raya bagi membantu pengguna merancang perjalanan dengan lebih baik.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan keputusan mengehadkan penggunaan Waze bagi urusan rasmi kerajaan dibuat atas pertimbangan keselamatan data dan implikasi perundangan.
Katanya, terma dan syarat penggunaan Waze menetapkan perkara berkaitan aplikasi itu tertakluk kepada bidang kuasa undang-undang Israel, sekali gus menimbulkan kebimbangan sekiranya berlaku pertikaian membabitkan pengguna Malaysia.
“Berdasarkan maklumat saya terima, pergerakan pengguna masih boleh ditentukan melalui aplikasi Waze walaupun mereka tidak menggunakannya secara aktif,” katanya.
Gobind berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai perlindungan pengguna sekiranya timbul masalah, terutama dari segi mendapatkan pembelaan melalui sistem perundangan negara berkenaan.
“Atas sebab inilah, larangan terhadap penggunaan aplikasi berkenaan bagi urusan yang ditetapkan diperkenalkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak mewajibkan penggunaan TuJu sebagai satu-satunya aplikasi navigasi, sebaliknya pengguna masih boleh memilih perkhidmatan lain seperti Google Maps.
Larangan penggunaan Waze hanya terpakai bagi urusan rasmi kerajaan dan perkhidmatan awam yang ditetapkan, termasuk arahan supaya aplikasi itu dinyahpasang bagi tujuan berkenaan.
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum