Allahyarham Bung Moktar Radin.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, menzahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Bung Moktar Radin yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Tun Musa berkata, sepanjang hayatnya, Allahyarham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag banyak memberi sumbangan besar kepada Sabah, terutamanya dalam peranannya sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Kinabatangan.
“Allahyarham Bung Moktar adalah antara Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat. Sudah tentu dalam jangka masa yang panjang itu, beliau banyak berjasa kepada negeri dan negara melalui pelbagai cadangan dan saranan semasa bergelar Ahli Parlimen.
“Semua jasa yang disumbangkan akan tetap dikenang oleh seluruh lapisan rakyat di Sabah.
“Saya sempat menziarahi Allahyarham di hospital di Kota Kinabalu lewat malam tadi. Ketibaan saya di Hospital itu kira kira jam 11.40 malam, disambut oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jaferi Ariffin,” katanya dalam kenyataan di FB.
Tun Musa menambah, pemergian tokoh politik veteran itu adalah kehilangan yang dirasai oleh semua pihak yang menghargai dedikasi dan khidmat bakti yang dicurahkan Allahyarham sepanjang memegang jawatan awam.
“Semoga ingatan terhadap sumbangan besar beliau kepada Sabah dan negara terus menjadi inspirasi dan diingati oleh generasi akan datang,” katanya.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada jam 1.46 pagi tadi, disahkan oleh anak beliau, Naim Kurniawan Moktar.
Jenazah Allahyarham kini berada di kediaman keluarga di Luyang dan akan dibawa ke Masjid Negeri Sabah untuk disembahyangkan dan dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas di sini selepas solat Jumaat. – Bernama
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
Projek Kampung Angkat MADANI perkasa kemudahan dua kampung di Kuala Pilah: Fahmi
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum