Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.
Kerajaan terbuka untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), namun hanya jika sistem itu digubal semula agar selari dengan aspirasi nasional dan dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan.
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan menegaskan kesaksamaan hanya boleh diberi apabila syarat utama itu dipenuhi.
“Kalau UEC tak selari dengan nilai dan cita-cita nasional, memang mustahil untuk disetarakan dengan kelayakan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah sebagai sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan mesti berpaksikan identiti kebangsaan.
Mohamad turut menekankan UEC hanya boleh bergerak ke arah pengiktirafan jika ada langkah mereformasi kurikulumnya.
“Selagi tiada usaha harmonikan UEC dengan aspirasi nasional, ia kekal sebagai sistem berasingan yang tak boleh diiktiraf secara rasmi,” ujarnya.
Isu UEC kembali menjadi tumpuan selepas Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, membidas kenyataan pimpinan DAP termasuk Nga Kor Ming yang menyatakan hasrat untuk membincangkan pengiktirafan UEC bersama Perdana Menteri.
Reaksi itu mencetus semula perdebatan lama mengenai kedudukan UEC dalam landskap pendidikan negara.
Menurut Mohamad, membina perpaduan nasional bukan proses mudah, terutama dalam negara berbilang kaum. Justeru, beliau percaya pendidikan dalam bahasa kebangsaan ialah asas paling kukuh untuk membentuk identiti bersama.
“Kurikulum negara mesti berpaksikan kearifan tempatan tetapi tetap selari dengan standard global. Kita kena kekal relevan tanpa hilang akar,” katanya, memberi penekanan bahawa keseimbangan antara identiti dan kemajuan adalah kunci masa depan pendidikan Malaysia.
Beliau turut menjelaskan kerajaan tidak pernah menghalang UEC, yang telah wujud sejak 1975 di bawah Dong Zong tetapi yang menjadi perdebatan hanyalah pengiktirafan formal.
“Pelaksanaan UEC tak pernah jadi masalah. Yang dipersoal hanyalah pengiktirafan kerana ia tak dibina untuk memupuk identiti pendidikan nasional,” katanya.
Mohamad juga mengingatkan supaya pendidikan tidak dijadikan alat politik kerana ia sepatutnya menjadi ruang penyatuan anak muda.
“Sekolah ialah tempat semua bangsa belajar untuk bekerjasama. Jangan rosakkan ruang itu dengan polemik,” tegasnya.
Beliau mengakui pemegang UEC tidak berdepan sebarang masalah memasuki banyak universiti dalam dan luar negara.
Namun, katanya, itu tidak bermakna kerajaan wajib menyamaratakan kelayakan tersebut dengan sistem nasional.
“Pilihan belajar dalam UEC sentiasa terbuka. Cuma jangan paksa kerajaan mengiktiraf sesuatu yang belum harmoni dengan identiti negara,” katanya.
2,257 pengarah syarikat gagal bayar caruman disekat ke luar negara
Bekalan minyak kekal stabil walaupun berdepan konflik Asia Barat
Stok beras dipertingkat hingga 9 bulan, bekalan mencukupi: Mohamad
Politik stabil tarik minat pelabur asing ke Malaysia
Saksi penting dalang komplot jatuhkan kerajaan berada di luar negara: Polis
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan