UMNO perlu hati-hati terima ajakan PAS, mereka selalu khianat: Khairuddin

June 9, 2026 · Politik

UMNO perlu berhati-hati dalam mempertimbangkan sebarang tawaran kerjasama baharu dengan PAS susulan perkembangan politik semasa yang memperlihatkan hubungan parti itu dengan rakan sekutunya sebelum ini berakhir dengan perpecahan.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Khairuddin Aman Razali berkata, persoalan utama yang perlu dijawab ialah sejauh mana PAS mampu menjamin bahawa episod pengkhianatan politik tidak akan berulang sekiranya kerjasama baharu diwujudkan.

Menurut beliau, walaupun PAS kini dilihat menghulurkan tangan untuk kembali bekerjasama dengan UMNO, pelbagai tuduhan dan tohmahan terhadap parti itu masih terus dibangkitkan oleh pemimpin serta penyokong PAS.

“Ketika PAS menawarkan kerjasama kembali dengan UMNO, pelbagai tohmahan masih lagi dibangkitkan terhadap UMNO. Kredibiliti Presiden UMNO masih menjadi pertaruhan.

“Malah terdapat cakap-cakap di belakang tabir yang mahukan kerjasama PAS dan UMNO tanpa Presiden UMNO. Apa jaminan tiada pengkhianatan berulang?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, rakyat juga sukar meyakini kesungguhan PAS untuk membina kerjasama politik yang stabil apabila hubungan parti itu dengan Bersatu yang sebelum ini dipuji sebagai kukuh hanya mampu bertahan kira-kira lima tahun.

Menurutnya, ketika hubungan kedua-dua parti berada dalam keadaan baik, pelbagai pujian dilontarkan, namun apabila berlaku perselisihan, kritikan dan kecaman pula mengambil tempat.

“Kalau dulu semasa hubungan baik, pelbagai pujian dilambung. Tetapi apabila bercerai, pelbagai kejian dilontarkan. Ini bukan akhlak Islam,” katanya.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat berkata, dirinya tidak pernah menolak gagasan penyatuan politik Melayu-Islam, malah pernah memperjuangkannya ketika masih berada dalam PAS.

Katanya, sokongan terhadap kerjasama UMNO-PAS menjadi antara faktor yang mendorong beliau mengambil keputusan meninggalkan parti itu apabila tidak bersetuju dengan cara pengurusan kepimpinan ketika itu.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tindakan dan pendekatan semasa PAS menimbulkan keraguan terhadap masa depan sebarang kerjasama politik yang cuba dibentuk.

Dalam kenyataan sama, Khairuddin turut menegur budaya politik yang menurutnya tidak selari dengan prinsip Islam, termasuk campur tangan dalam urusan dalaman parti rakan serta penggunaan bahasa kasar ketika berceramah.

Beliau berkata, parti yang membawa imej Islam mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan setiap tindakan politik selari dengan nilai dan akhlak yang diperjuangkan.

“Sebarang kerjasama politik mestilah berasaskan prinsip kebajikan dan takwa. Sama ada ketika bekerjasama atau selepas berakhirnya kerjasama, persaudaraan Islam perlu terus dipelihara.

“Jangan ada maki hamun dan kejian apabila persepakatan terungkai,” katanya.

Mengulas kedudukan semasa UMNO dalam kerajaan perpaduan, Khairuddin berpandangan hubungan yang dijalin dengan PKR dan Amanah ketika ini merupakan formula yang lebih meyakinkan untuk membantu kebangkitan parti itu berbanding menerima tawaran kerjasama yang masih menimbulkan banyak persoalan.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat cabaran dalam kerjasama tersebut, khususnya melibatkan DAP yang menurutnya sering menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam.

Berita berkaitan
Jika BN-PH bersama, saya tak bertanding PRN Melaka: Akmal
13 jam lalu· Politik
PH-BN mungkin runding kerusi elak pertembungan di Melaka: Saifuddin
August 18, 2026· Politik
UMNO perlukan kuasa untuk ‘tikam belakang’, jadi perlu kekal dalam kerajaan: Puad
August 18, 2026· Politik
Kerjasama PH-BN mesti atas dasar hormat, bukan untung sebelah pihak: AMK
August 18, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
8 jam lalu · Politik
Seorang MKT UMNO persoal gesaan ganti Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA
12 jam lalu · Politik
Syahredzan cadang peruntukan Ahli Parlimen ikut jumlah pengundi
13 jam lalu · Politik
Gobind mahu peruntukan Ahli Parlimen bebas diskriminasi
August 18, 2026 · Politik
Bendera terbalik di Johor, Akmal tak mahu anjur himpunan seperti di P. Pinang?
August 17, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok