Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin.
UMNO mengalu-alukan kesediaan PAS untuk menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya status Perikatan Nasional (PN) masih tergantung.
Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin berkata, keterbukaan itu bagaimanapun tidak bermakna mana-mana parti boleh menggunakan logo BN secara automatik kerana terdapat beberapa perkara asas yang perlu diteliti terlebih dahulu.
Menurut beliau, UMNO bersedia membincangkan perkara itu sekiranya ia menjadi kehendak PAS dalam usaha membentuk kerjasama menghadapi PRN Melaka.
“Kalau mana-mana pihak bersedia untuk bertanding menggunakan logo BN, sangat-sangat kita alu-alukan. Tetapi haruslah bersandarkan kepada keputusan-keputusan pokok.
“Jika itu yang PAS kehendaki, kita bersedia untuk berbincang. Tetapi buat waktu ini masih belum ada sebarang pertemuan. PAS cakap kepada media, jadi saya pun cakap kepada media juga,” katanya selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi, hari ini.
Perkembangan itu menyusul kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang memaklumkan rundingan antara PAS dan UMNO bagi menghadapi PRN Melaka semakin hampir mencapai persetujuan.
Tuan Ibrahim dilaporkan berkata rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti sudah mencapai kira-kira 90 peratus, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama lebih erat dalam menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.
PAS turut dilaporkan bersedia menggunakan logo BN sekiranya perkara itu menjadi sebahagian daripada persetujuan yang dicapai bersama UMNO.
Bagaimanapun, Khaled ketika ditanya sama ada keterbukaan penggunaan logo BN itu turut meliputi parti lain dalam PN, termasuk Parti Wawasan Negara, enggan mengesahkannya.
“Siapa nak datang rumah kita, orang yang kita sukalah. Bukan semua orang,” katanya.
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
Abang Johari panggil sidang media khas, DUN Sarawak bakal bubar?
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum