Dr Dzulkefly Ahmad.
Pelarian Rohingya yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam tidak menerima sebarang subsidi kerajaan dan dikenakan kadar caj yang sama seperti warga asing lain, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, semua warga asing termasuk Rohingya perlu membayar kos rawatan yang jauh lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia kerana mereka tidak layak menerima subsidi kesihatan yang disediakan kerajaan kepada warga tempatan.
“Isu berkaitan warga asing tidak diberi subsidi pernah saya jelaskan sebelum ini. Mereka tidak dikecualikan dan dikenakan caj rawatan jauh lebih tinggi daripada rakyat tempatan.
“Contohnya, bagi rawatan pesakit luar pakar, warga asing dikenakan caj RM120 manakala rakyat Malaysia hanya membayar RM5 untuk berjumpa pakar dan RM1 untuk berjumpa doktor,” katanya selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) hari ini.
Dzulkefly mengulas isu tular di media sosial berhubung kos rawatan warga asing termasuk Rohingya yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat mengenai beban kewangan yang ditanggung kerajaan.
Menurut beliau, rekod KKM menunjukkan jumlah bil rawatan tertunggak melibatkan warga asing semakin berkurangan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Nilai tunggakan direkodkan sebanyak RM35 juta pada 2023 sebelum menurun kepada RM33.46 juta pada 2024 dan seterusnya RM30.57 juta pada tahun lalu.
Katanya, kementerian sentiasa memantau isu berkenaan dan telah memperketatkan langkah kutipan bayaran bagi mengurangkan tunggakan.
“KKM tidak mengambil mudah isu tunggakan bayaran. Kita mengenakan deposit sebelum rawatan dalam kes tertentu dan mengambil tindakan susulan terhadap majikan yang gagal menjelaskan kos rawatan pekerja asing,” katanya.
Beliau turut menjelaskan KKM bekerjasama dengan Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu membiayai rawatan warga asing yang tidak berkemampuan.
“Sebagai Kementerian Kesihatan, kita mengamalkan dasar kecemasan. Bila mereka datang, kita rawat dahulu, tetapi kita lakukan tindakan susulan untuk mendapatkan bayaran,” katanya.
Mengulas dakwaan terdapat peningkatan mendadak jumlah Rohingya yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan, Dzulkefly berkata kementerian setakat ini tidak mengesan sebarang lonjakan luar biasa.
“Saya tidak melihat sesuatu yang melebihi paras biasa. Mungkin persepsi ketika ini banyak tertumpu kepada Rohingya, tetapi tiada lonjakan luar biasa yang kita perhatikan,” katanya.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum