MIC sebelum ini membawa usul untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu menghormati sepenuhnya apa jua keputusan yang akan dibuat oleh parti komponennya, termasuk MIC, meskipun keputusan berkenaan melibatkan hala tuju besar sama ada kekal bersama BN atau sebaliknya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bagaimanapun menyatakan harapan peribadinya agar MIC terus bersama BN, selari dengan semangat kerjasama yang telah terjalin sejak sekian lama.
Menurutnya, BN tidak akan mencampuri urusan dalaman mana-mana parti gabungan kerana setiap parti berhak menentukan pendirian sendiri.
“Kami dalam BN berpegang kepada prinsip saling menghormati. Apa juga keputusan MIC adalah hak mereka. Namun sudah tentu kita berharap MIC terus kekal bersama BN demi memperkukuh gabungan ini,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian pecah tanah Projek Industri QL Innofood Park di Hutan Melintang.
Mengulas lanjut, beliau berkata kemasukan semula Parti Progresif Penduduk (PPP) ke dalam BN baru-baru ini memberi nafas baharu kepada gabungan itu yang kini kembali mempunyai lima parti teras.
Keadaan ini, katanya, seharusnya menjadi asas kukuh untuk menguatkan semula kerjasama politik BN yang pernah mendominasi landskap politik negara.
“MIC adalah antara parti teras sejak zaman Parti Perikatan lagi bersama UMNO dan MCA. Dengan struktur BN yang semakin tersusun, kita berharap parti-parti teras ini dapat terus diperkasakan,” katanya.
Semalam, Presiden MIC, S A Vigneswaran dilaporkan berkata parti itu akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi membincangkan kemungkinan menyertai Perikatan Nasional sebagai gabungan pembangkang.
Perkembangan itu mencetuskan spekulasi mengenai kedudukan MIC dalam BN.
Ditanya sama ada beliau telah menghubungi kepimpinan MIC berhubung perkara tersebut, Ahmad Zahid berkata tidak berbuat demikian dan menegaskan BN memilih untuk tidak campur tangan.
Katanya, MIC juga tidak hadir Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kota Kinabalu sebelum ini kerana wakilnya berada di luar negara.
“Kami yakin MIC akan membuat keputusan yang terbaik, bukan sahaja untuk parti mereka, tetapi juga untuk kestabilan politik negara,” katanya.
Tak dicalonkan dalam PRN bukan alasan sabotaj parti: Aminuddin
PKR bidas tindakan MP Petaling Jaya letak jawatan dalam parti
Bila Samsuri nak lantik Pengerusi PN Negeri Sembilan, PRN dah dekat: Sanjeevan
Fahmi kesal MP Petaling Jaya letak jawatan MPP PKR secara terburu-buru
Anwar gesa semua parti patuhi etika kempen PRN Johor, Negeri Sembilan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi