Tiada konflik antara Rahman dengan Bung pada PRN Sabah kali ini, kata Zahid Hamidi.
Keputusan Timbalan Ketua UMNO Sabah, Abdul Rahman Dahlan untuk tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak menandakan sebarang masalah dalaman dalam Barisan Nasional (BN).
Menurut Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, keputusan itu dibuat secara terhormat hasil perbincangan kedua-duanya bagi memberi laluan kepada calon muda yang diketengahkan oleh UMNO Sabah.
“Beliau (Abdul Rahman) telah bertemu dengan saya, sebelum itu beliau menelefon saya untuk memohon penarikan diri. Dua hari lepas pun beliau bersama saya dan juga calon di Tuaran.
“Hari ini saya ke Kota Belud, semalam Abdul Rahman sendiri datang mengiringi calon (di Kota Belud) dan tidak ada sedikit pun permasalahan di dalam BN,” kata Zahid selepas merasmikan Program Karnival Lindung Kerjaya hari ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO memuji sikap berjiwa besar yang ditunjukkan oleh Abdul Rahman dengan mendahulukan kepentingan parti.
“Memang benar, di peringkat awal tawaran telah diberikan kepada Abdul Rahman, tetapi beliau telah menarik diri kerana merasakan peluang harus diberikan kepada anak muda.
“Jadi saudara Azuwan Marjan telah diputuskan oleh UMNO Sabah untuk diketengahkan sebagai calon di Tempasuk,” ujarnya.
Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada Abdul Rahman dan berharap calon baharu mereka, Azuwan Marjan, akan berjaya memenangi kerusi DUN Tempasuk.
“Tentunya kita ucapkan terima kasih kepada Abdul Rahman yang telah memberikan peluang ini kepada Azuwan. Mudah-mudahan Azuwan akan memenangi kerusi Tempasuk ini,” katanya.
Pertandingan di DUN Tempasuk menyaksikan Azuwan daripada BN berdepan dengan tujuh penentang lain, termasuk penyandangnya, Mohd Arsad Bistari daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
PRN N9: PH ikrar teruskan dasar beri manfaat kepada rakyat
Malaysia kekal tegas, tidak tunduk desakan Ahli Kongres AS: Loke
PRN NS: Anwar titip pantun, seru kekal bersahabat walau bertanding
Aminuddin serah kepada rakyat nilai sikap BN
Jangan angkuh, UMNO perlu sedar kedudukan sendiri
[VIDEO] Syarikat telco bocor data Khairul Aming merisaukan, Fahmi arah MCMC dapatkan laporan penuh
[VIDEO] PH sudah buktikan 8 tahun tadbir Negeri Sembilan, PRN ini teruskan kerajaan yang stabil