Kes rasuah.
Seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan antara 13 individu yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan kira-kira RM2.5 juta yang dipercayai diterima daripada kontraktor.
Kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 60-an itu ditahan antara jam 8 malam hingga 11 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Menurut Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit dipercayai terlibat dalam kegiatan melantik syarikat kontraktor yang dikawal ejen kartel bagi memonopoli projek lantikan terus dan sebut harga di sebuah agensi kerajaan.
“Kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2026,” menurut kenyataan SPRM hari ini.
SPRM memaklumkan, tiga suspek yang melibatkan dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat direman selama dua hari bermula 16 hingga 17 Jun, manakala 10 lagi suspek direman selama lima hari sehingga 20 Jun selepas permohonan reman dibenarkan oleh Majistret Anis Hanini Abdullah di Mahkamah Majistret Ipoh.
Daripada keseluruhan suspek yang direman, lapan merupakan penjawat awam manakala lima lagi terdiri daripada orang awam dan pemilik syarikat.
Siasatan turut mendapati kontraktor yang ditahan mengaku mereka perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah sebelum wang tersebut disalurkan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan berkenaan sebagai balasan mendapatkan projek.
Kes itu terbongkar menerusi Op Drain yang dilancarkan Bahagian Siasatan SPRM pada Isnin lalu di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak.
Dalam operasi bersepadu itu, sebanyak 25 lokasi melibatkan kediaman, premis pejabat dan agensi kerajaan telah digeledah bagi mengumpul bahan bukti.
Hasil serbuan, SPRM menyita pelbagai aset dipercayai berkaitan dengan kegiatan rasuah tersebut, termasuk wang tunai kira-kira RM1.5 juta, sebuah jam tangan mewah, dua kenderaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi serta barang kemas bernilai hampir RM1 juta.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan kesalahan meminta atau menerima suapan.
Sambutan Hari Peneroka ditangguh atas permintaan kerajaan Johor sendiri? – Sumber
Harga diesel turun 30 sen, subsidi kerajaan cecah RM3.5 bilion sebulan
Berfikir sebelum bertindak, Sultan Nazrin ingatkan pemimpin
Dakwaan masuk universiti secara tidak sah perlu dibuktikan: Zambry
RTM ambil langkah sekat akses VPN ke RTMKLIK
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar