Calon PH DUN Ampangan tumpu penyelenggaraan infrastruktur

July 26, 2026 · Politik

Penyelenggaraan infrastruktur menjadi keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Muhammad Nazri Kassim jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Beliau berkata, kedudukan Ampangan sebagai kawasan bandar yang telah matang menyebabkan ruang untuk pembangunan baharu agak terhad, justeru usaha menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sedia ada perlu diberi perhatian.

“Saya mahu beri keutamaan kepada kerja-kerja penyelenggaraan bagi semua infrastruktur sedia ada. Ini termasuk jalan Persekutuan, jalan negeri dan lain-lain jalan dengan kerjasama pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program tinjauan mesra di Kampung Jiboi Baru.

Muhammad Nazri berkata, beberapa kawasan di Ampangan yang merentasi sungai memerlukan penyelenggaraan parit dan longkang secara berkala bagi mengelakkan masalah banjir serta memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik.

Beliau turut berhasrat menjadikan kawasan berhampiran sungai sebagai lokasi rekreasi sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

“Sungai juga boleh dibersihkan dan disediakan kemudahan untuk orang awam,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkempen hampir seminggu, antara aduan utama yang diterima daripada penduduk ialah masalah pengurusan sampah di beberapa lokasi serta kejadian banjir yang kerap berlaku di Kampung Ismail.

Katanya, hasil pemerhatian mendapati longkang sedia ada dan bentuk sungai di kawasan itu mempunyai aras ketinggian yang tidak sekata sehingga menyebabkan air bertakung setiap kali hujan lebat.

“Ia menyebabkan air bertakung dan boleh mengundang pembiakan aedes, sekali gus menjejaskan kesihatan penduduk setempat,” katanya.

Mengulas persaingan di DUN Ampangan, Muhammad Nazri berkata beliau menghormati semua pencabar dan yakin kempen secara sihat mampu memberi ruang kepada pengundi membuat pilihan terbaik.

“Saya berdepan pertandingan tiga penjuru, termasuk menentang bekas ADUN serta EXCO yang dikenali ramai. Faktor itu harus kita akui dan kita bertanding secara sihat.

“Sebagai calon PH, saya menawarkan kesungguhan dan komitmen tinggi untuk terus memberi khidmat kepada warga Ampangan,” katanya.

Kerusi DUN Ampangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRN Negeri Sembilan kali ini membabitkan Muhammad Nazri yang mewakili PH; bekas ADUN Ampangan, Dr Rafie Abd Malek daripada Perikatan Nasional (PN), serta Noor’azah Harun daripada Bersatu.

Ampangan merupakan antara kerusi yang menjadi tumpuan kerana kedudukannya di kawasan bandar Seremban dengan pelbagai isu setempat termasuk penyelenggaraan infrastruktur, banjir dan kebersihan, sering menjadi perhatian penduduk.

 

Berita berkaitan
Aminuddin minta buktikan mana projek PH yang tertinggal
July 26, 2026· Politik
Muhyiddin jangka kerjasama BN-PN sukar bertahan
15 jam lalu· Politik
PH yakin kekal kuasai DUN Pilah, namun enggan alpa
15 jam lalu· Politik
PRN NS: PH dakwa sudah lepasi sasaran pelaburan BN
22 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Fahmi: Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
1 jam lalu · Politik
14 kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan
2 jam lalu · Politik
BN tidak kompromi isu perkauman walau ada kerjasama politik: Zambry
2 jam lalu · Politik
Kempen masuk minggu kedua, Aminuddin fokus dekati pengundi seramai mungkin
2 jam lalu · Politik
Fahmi: Politik sepatutnya menyatupadukan rakyat, tindakan pemimpin PAS dikritik
13 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
July 26, 2026
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
18 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok