Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Turkiye belum bersedia menerima pelarian Rohingya dari Malaysia meskipun kerajaan sebelum ini mengemukakan permohonan supaya negara berkenaan mempertimbangkan penempatan semula kumpulan pelarian itu.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pendirian rasmi kerajaan Turkiye itu disahkan kepadanya dua hari lalu atas alasan negara berkenaan sudah menanggung lebih empat juta pelarian dari negara Teluk, Arab dan beberapa negara jiran.
Menurutnya, Malaysia bagaimanapun akan terus mengemukakan permohonan kepada Turkiye serta negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) lain yang berpotensi membantu menangani isu pelarian Rohingya.
“Saya dapat pengesahan daripada kerajaan Turkiye dua hari yang lalu, mereka belum bersedia menimbangkan pelarian Rohingya. Tetapi Malaysia, seperti disuarakan Timbalan Perdana Menteri, memohon supaya perkara itu dipertimbangkan.
“Pihak Turkiye secara rasminya belum bersedia atas alasan mereka sekarang menanggung lebih empat juta pelarian daripada negara-negara Teluk, negara Arab dan juga beberapa negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) di Dewan Rakyat yang meminta penjelasan mengenai dakwaan Turkiye bersetuju menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.
Anwar menjelaskan, usaha mencari negara ketiga untuk menempatkan semula pelarian berkenaan mencerminkan pendirian konsisten Malaysia dalam menangani isu kemanusiaan Rohingya.
Katanya, cadangan supaya Turkiye dipertimbangkan sebagai destinasi penempatan semula dibuat mengambil kira rekod negara itu yang mempunyai tradisi menerima dan membantu pelarian dari negara Islam.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan Turkiye sudah menyatakan pendirian tegas untuk tidak mempertimbangkan cadangan itu buat masa ini disebabkan beban tanggungan pelarian sedia ada.
Kontroversi mengenai perkara itu tercetus Jumaat lalu apabila Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Malaysia dan Turkiye bersetuju menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya di negara berkenaan menerusi program latihan kemahiran berstruktur.
Beliau turut menyatakan program latihan selama tiga hingga enam bulan itu akan memberi tumpuan kepada kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri di Turkiye.
Namun, kenyataan berkenaan dipadam daripada akaun media sosialnya kira-kira sejam selepas diterbitkan tanpa sebarang penjelasan.
Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai status sebenar persetujuan Turkiye, sekali gus mendorong gesaan supaya kerajaan memberikan penjelasan rasmi.
Isu premis tutup solat Jumaat, Anwar tidak setuju kenyataan Ahli Parlimen
GST belum sesuai dilaksana, kerajaan kekal SST: MOF
Tiada lesen judi baharu diluluskan: MOF
Isu cip AI: Tiga syarikat Malaysia dikenakan sekatan AS
Jangan abaikan madrasah dalam mengejar kemajuan negara: Anwar
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan