ASEAN perlu bersedia hadapi krisis makanan: Anwar

May 8, 2026 · Isu semasa

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa ASEAN menubuhkan mekanisme siap siaga serantau bagi memastikan bekalan makanan terus terjamin ketika berdepan krisis global yang semakin mencabar.

Anwar berkata gangguan bekalan tenaga kini memberi kesan langsung kepada sektor makanan apabila kenaikan harga bahan api meningkatkan kos baja, pengangkutan dan pengeluaran di seluruh rantau ini.

“Jika gangguan berterusan, ASEAN menghadapi risiko hasil yang lebih rendah dan inflasi makanan yang berpanjangan sehingga tahun depan. Keterjaminan makanan perlu dianggap sebagai keutamaan strategik serantau,” katanya semasa berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina.

Beliau mencadangkan satu kajian segera dilakukan bagi mewujudkan mekanisme tindak balas kecemasan serantau supaya negara anggota dapat menyelaras bantuan dan tindakan lebih pantas ketika berlaku krisis bekalan.

Anwar turut menekankan kepentingan memperkukuh Rizab Beras Kecemasan ASEAN Plus Tiga (APTERR) serta memperluaskan kerjasama kepada aspek bekalan baja demi menjamin kestabilan sektor pertanian.

Menurut beliau, Deklarasi Kuala Lumpur yang diterima pakai tahun lalu sudah mengiktiraf isu tenaga, makanan, rantaian bekalan dan hubungan serantau kini menjadi faktor penting untuk kelangsungan ekonomi ASEAN.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia menyokong usaha mempercepat pelaksanaan Rangka Kerja ASEAN bagi Perjanjian Keterjaminan Petroleum (APSA) susulan pengeluaran minyak dan gas domestik yang semakin berkurangan di rantau ini.

“Kita perlu mempelbagaikan sumber bahan api dan mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan yang mudah terjejas. Kerjasama strategik dengan rakan yang dipercayai penting untuk menjamin keselamatan tenaga jangka panjang ASEAN,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa ASEAN memanfaatkan kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta kerjasama lebih luas melibatkan China bagi membina sistem tenaga yang lebih kukuh dan stabil.

Selain isu makanan dan tenaga, Anwar turut menyentuh keselamatan rakyat ASEAN susulan ketegangan di Asia Barat.

Katanya, negara anggota perlu meningkatkan perkongsian maklumat, kerjasama konsular dan mekanisme kecemasan untuk melindungi rakyat termasuk pekerja migran, pelajar dan pasukan pengaman.

Anwar juga mengulangi sokongan Malaysia terhadap kepengerusian ASEAN oleh Filipina tahun ini dan menyifatkan tema “Menelusuri Masa Depan Kita, Bersama-sama” sebagai tepat dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Berita berkaitan
Anwar rasmi Menara FINAS baharu, industri kreatif masuk fasa baharu
1 jam lalu· Isu semasa
Anwar, Abang Johari dan Hajiji bincang persiapan MA63
August 22, 2026· Isu semasa
Sultan Brunei kurnia Darjah Kerabat kepada Anwar
August 22, 2026· Isu semasa
PAS jangan sibuk isu Taiwan, bahas Tabung Haji dulu: AMK
August 22, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Mahkamah tolak permohonan lucut hak wang RM21.1 juta Aman Palestin
3 jam lalu · Isu semasa
Menara FINAS buka era baharu industri filem: Fahmi
3 jam lalu · Isu semasa
Ashwad, Ziana Zain terima gelaran Datuk Melaka
3 jam lalu · Isu semasa
Ringgit terus mengukuh, data ekonomi jadi pemangkin
7 jam lalu · Isu semasa
JMF buat penampilan sulung, meriahkan Hari Kebangsaan: Fahmi
7 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok