Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi, Kudat. Foto kredit: FB Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim menegaskan agenda transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) negara tidak boleh hanya tertumpu di Kuala Lumpur atau institusi pendidikan utama, sebaliknya mesti dinikmati rakyat hingga ke peringkat akar umbi termasuk di kawasan pedalaman Sabah.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan mahu memastikan pembangunan teknologi tidak mewujudkan jurang lebih besar antara masyarakat bandar dan luar bandar, khususnya melibatkan golongan miskin di desa, pulau dan kawasan terpencil.
“Bila kita jadikan ini dasar negara dua tahun setengah lalu, kebimbangan saya ialah dasar itu hanya tinggal di Kuala Lumpur, universiti utama dan badan penyelidikan penting, tetapi tidak sampai ke akar umbi,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi di Kudat, hari ini.
Anwar berkata, pembangunan digital perlu menjadi alat untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan peluang ekonomi rakyat, bukan sekadar dinikmati kelompok tertentu yang mempunyai akses lebih baik kepada teknologi.
Beliau turut memuji kejayaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pulau Banggi yang muncul juara kategori capacity building pada World Summit on the Information Society (WSIS) anjuran International Telecommunication Union di Geneva tahun lalu.
Katanya, pencapaian itu membuktikan masyarakat di kawasan terpencil juga mampu mencipta kejayaan dalam bidang digital jika diberi peluang, kemudahan dan sokongan sewajarnya.
“Pulau Banggi disebut antara NADI yang berjaya di negara kita. Walaupun terpencil dan tidak ramai pakar, mereka masih mampu menjadikan pusat ini antara yang terbaik. Saya ucap tahniah kepada pengurusan NADI dan seluruh rakyat Pulau Banggi,” katanya.
Pulau Banggi yang terletak di utara Sabah merupakan pulau terbesar di Malaysia dan sering berdepan cabaran dari segi kemudahan infrastruktur serta akses internet.
Namun, kejayaan NADI di kawasan itu kini dilihat sebagai contoh bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan masyarakat luar bandar untuk meningkatkan taraf hidup dan kemahiran digital.
Anwar berkata, pencapaian tersebut turut menjadi antara sebab beliau memilih untuk turun sendiri ke Pulau Banggi bagi melihat perkembangan dan kejayaan masyarakat setempat dalam bidang digital.
FINAS, TikTok Malaysia lancar Program Belia Kreatif
Dana RM5 juta galak belia hasilkan karya kreatif, boleh mohon 1 Jun: Fahmi
FOMCA gesa harga barang dipantau selepas subsidi diesel diperluas
Pengesahan umur pengguna akaun media sosial akan diwajibkan: Nie Ching
Tolak politik kebencian, Anwar seru rakyat pertahan perpaduan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi