Amir Hariri Abd Hadi.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MANDIRI menafikan dakwaan menerima dana asing untuk menjatuhkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, seperti yang tular menerusi sebuah video di TikTok sebelum ia dipadamkan.
Pengarah Eksekutif MANDIRI, Amir Hariri Abd Hadi berkata, tuduhan itu bersifat politik dan dilihat sebagai cubaan memburukkan organisasi anak muda yang aktif menyuarakan isu berkaitan rasuah, hak asasi dan ketelusan pentadbiran.
Menurut beliau, dakwaan sedemikian bukan perkara baharu kerana ia sering digunakan terhadap aktivis, NGO dan media bebas di rantau Asia Tenggara.
“MANDIRI beroperasi seperti NGO lain dengan memohon geran yang kebanyakannya disenaraikan secara terbuka bagi menampung kos operasi. Geran tersebut boleh dipohon oleh mana-mana organisasi bergantung kepada keupayaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau turut menjelaskan MANDIRI mempunyai dasar dalaman yang melarang penerimaan dana daripada kerajaan, agensi kerajaan termasuk kerajaan Malaysia serta ahli politik bagi memastikan kebebasan organisasi tanpa campur tangan mana-mana pihak.
MANDIRI sebelum ini dikenali sebagai antara NGO yang aktif memperjuangkan isu anak muda dan mahasiswa melalui kempen berkaitan keadilan sosial, hak asasi manusia, ketelusan kerajaan, keadilan ekonomi serta kelestarian alam sekitar.
Organisasi itu juga sering menganjurkan forum, kelas akademik dan kempen antirasuah.
Amir Hariri menegaskan MANDIRI bukan sebuah parti politik dan tidak terlibat dalam sebarang gerakan menjatuhkan atau mengangkat mana-mana pemimpin negara.
“Kami berpegang kepada nilai demokrasi dan bergerak dalam kerangka demokratik. Kami juga tiada hubungan dengan Rafizi Ramli atau mana-mana ahli politik,” katanya.
Menurutnya, kerjasama yang pernah berlaku sebelum ini hanyalah melibatkan kempen isu tertentu termasuk berkaitan pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dan dakwaan melibatkan mafia korporat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata MANDIRI sedang berbincang dengan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa memfitnah organisasi itu menerusi sidang media di hadapan IPD Dang Wangi dan penyebaran video AI di TikTok.
“Isu ini tidak akan mendiamkan kami. Kami akan terus memperhebat gerakan melawan rasuah dan mempertahankan hak rakyat,” katanya.
Tun Faisal dakwa Hamzah punca keretakan PN, PAS campur urusan dalaman Bersatu
Parti Rafizi terlalu taksub kritik kerajaan, tiada formula bantu rakyat: AMK
Bukankah FELDA diurus Pengerusi dan Menteri UMNO? DAPSY persoal dakwaan MB Johor
Puad dakwa ada yang ‘tidak kena’ dalam senarai calon BN Johor
Keputusan rayuan Guan Eng, isteri dan ahli perniagaan diketahui hari ini
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar