Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman di Putrajaya. Foto Kredit: PMO
Malaysia dan Bangladesh sepakat memperkukuh hubungan dua hala menerusi pelaksanaan penuh Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan yang merangkumi bidang sains ketenteraan, kepakaran teknikal dan perkongsian industri pertahanan.
Komitmen itu dicapai hasil pertemuan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman sempena lawatan rasmi pemimpin negara Asia Selatan itu ke Malaysia.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Kementerian Luar hari ini, kedua-dua pemimpin mengiktiraf hubungan pertahanan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara melalui lawatan ketenteraan peringkat tinggi, program latihan kakitangan serta kunjungan kapal tentera laut di pelabuhan masing-masing.
“Kedua-dua pemimpin komited untuk melaksanakan sepenuhnya MoU Kerjasama Pertahanan bagi meluaskan kerjasama strategik dalam sains ketenteraan, kepakaran teknikal dan perkongsian industri pertahanan,” menurut kenyataan itu.
Bagi memperkukuh kerjasama tersebut, Malaysia dan Bangladesh berharap dapat menubuhkan Jawatankuasa Bersama Kerjasama Pertahanan (JCDC) yang akan berperanan merangka pelan tindakan pertahanan secara lebih tersusun dan strategik.
Kedua-dua negara turut menekankan kepentingan meningkatkan kapasiti serta keupayaan pertahanan melalui kursus dan program latihan, termasuk penempatan pegawai di Kolej Pertahanan Nasional dan Kolej Pemerintah dan Staf di kedua-dua negara.
Selain itu, Malaysia dan Bangladesh menyatakan komitmen untuk terus menyokong operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi latihan taktikal bersama, latihan pra-kerahan dan pertukaran kepakaran bagi menghadapi cabaran keselamatan global yang semakin kompleks.
“Kedua-dua pemimpin juga komited untuk memperkukuh kerjasama dalam mencegah dan memerangi keganasan serta ekstremisme ganas melalui perkongsian risikan, pertukaran maklumat, pembangunan kapasiti dan perkongsian amalan terbaik,” menurut kenyataan itu.
Dalam bidang pendidikan, kedua-dua pemimpin bersetuju memperluaskan kerjasama antara institusi pengajian tinggi melalui program penyelidikan bersama dan pembangunan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Malaysia turut mengiktiraf sumbangan kira-kira 11,000 pelajar Bangladesh yang kini menuntut di Malaysia dalam mengukuhkan hubungan akademik dan sosioekonomi antara kedua-dua negara.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara akan menggalakkan lebih banyak pengiktirafan kelayakan bersama, program ijazah bersama dan kaedah pembelajaran yang lebih fleksibel bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Sebagai tambahan, Malaysia dan Bangladesh berhasrat memperluaskan kerjasama pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 (MYMT2026).
“Malaysia mengalu-alukan kedatangan pelancong Bangladesh dan kedua-dua pemimpin bersetuju meningkatkan promosi pelancongan serta pertukaran budaya antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Hubungan Malaysia dan Bangladesh terus berkembang sejak terjalin secara rasmi pada 1972, dengan kerjasama yang merangkumi perdagangan, pendidikan, tenaga kerja dan pertahanan.
Masjid Warisan TRX diteruskan, Menteri Agama beri jaminan
FINAS bawa 11 syarikat tempatan ke festival animasi dunia
KPDN jelaskan status sebenar Madani Mart: Armizan
SPRM arah pegawai kemas kini harta, perkukuh integriti dalaman: Azalina
Ancaman dadah sintetik kian meruncing, fentanyl juga dikesan dalam vape
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar