Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.
Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan pelabur asing dan tempatan apabila aliran pelaburan langsung asing (FDI), pelaburan domestik langsung (DDI) serta perbelanjaan kerajaan menunjukkan prestasi memberangsangkan pada suku pertama tahun ini.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, perkembangan positif itu membantu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada 5.4 peratus, melepasi unjuran awal sebanyak 5.3 peratus.
Menurut beliau, kemasukan pelaburan asing mula memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi selain disokong oleh pelaburan syarikat tempatan dan perbelanjaan awam yang kekal kukuh.
“Kita tengok suku pertama tahun ini, GDP kita masih kukuh lagi pada 5.4 peratus, lebih tinggi daripada unjuran awal 5.3 peratus. FDI yang masuk telah mula membina GDP, DDI dalam negara juga masih tinggi dan public spending masih kuat,” katanya selepas melawat Projek Intel Pelican di Bayan Lepas, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan menerusi kerangka Ekonomi Madani memberi tumpuan memastikan semua pemacu ekonomi terus bergerak lancar bagi mengekalkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
Katanya, pelabur domestik termasuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kini semakin aktif melabur dalam negara kerana melihat lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi.
“GLIC dan GLC juga melabur dalam negara kerana peluang sudah nampak lebih banyak dan mereka bergabung untuk meningkatkan lagi peluang di Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, langkah kerajaan meningkatkan pendapatan rakyat seperti kenaikan gaji penjawat awam dan pelaksanaan gaji minimum turut merangsang perbelanjaan domestik.
Dalam perkembangan sama, Amir Hamzah berkata permintaan terhadap sektor kecerdasan buatan (AI), pusat data dan semikonduktor masih tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan teknologi di rantau ini.
Menurutnya, kekuatan ekosistem industri terutama di wilayah utara Semenanjung menjadi antara faktor utama negara terus menarik pelaburan global.
“Trend digital, data center dan AI masih kuat. Fokus kerajaan sekarang ialah mengukuhkan ekosistem, menarik lebih ramai pelabur dan memastikan pelaburan ini dapat membantu Malaysia berkembang pada masa depan,” katanya.
PMX arah isu e-dagang ditangani segera
Dana Inovasi Media 2.0 diteruskan, lima skop pembiayaan ditawar: Fahmi
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
MAPIM gesa tindakan tegas terhadap kempen kebencian susulan serangan di Kulai
MCMC menang tuntutan RM15.32 juta terhadap MajuBina
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum