Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berucap semasa merasmikan majlis penutupan Permukiman yang berlangsung di CCEC hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kerjasama strategik di peringkat tempatan dan antarabangsa bagi membanteras jenayah penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan membimbangkan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan dan pihak industri amat penting bagi memastikan tindakan lebih bersepadu dapat dilaksanakan dalam menangani ancaman scam yang kini merentas pelbagai platform digital.
“Jenayah penipuan dalam talian bukan lagi isu terpencil kerana ia melibatkan kerugian besar kepada rakyat serta menjejaskan keyakinan terhadap ekosistem digital negara.
“Kerjasama strategik dan perkongsian maklumat antara semua pihak perlu diperkukuh supaya tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya semasa merasmikan majlis penutupan Permukiman yang berlangsung di CCEC hari ini.
Program permukiman tersebut selama tiga hari bermula 22 Mei lalu yang menghimpunkan pelbagai agensi penguat kuasa, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi serta pemain industri digital.
Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia.
Sepanjang program itu, peserta membincangkan trend terkini serta modus operandi scammer termasuk penyalahgunaan nombor telefon, panggilan dan SMS penipuan, akaun bank keldai, penipuan pelaburan serta tawaran pinjaman tidak wujud.
Dalam perkembangan sama, MCMC turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Global Anti-Scam Alliance (GASA) bagi memperluas kerjasama antarabangsa dalam memerangi penipuan digital.
MoU itu dijangka memberi fokus kepada perkongsian kepakaran, pembangunan kapasiti serta usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai ancaman siber dan penipuan dalam talian.
Kes penipuan dalam talian di Malaysia menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan scam kewangan dan penipuan pelaburan antara jenayah siber paling banyak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
MAPIM gesa tindakan tegas terhadap kempen kebencian susulan serangan di Kulai
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum