Kerajaan kaji semula perbelanjaan susulan krisis global: Akmal Nasrullah

May 31, 2026 · Isu semasa

Kerajaan sedang mempertimbangkan penyusunan semula perbelanjaan negara susulan peningkatan mendadak subsidi bahan api yang kini mencecah RM5 bilion sebulan akibat krisis tenaga global berpunca daripada ketegangan di Selat Hormuz.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata tekanan terhadap harga minyak dunia dan gangguan bekalan global memberi kesan langsung kepada kedudukan fiskal negara serta sasaran defisit yang ditetapkan tahun ini.

Menurut beliau, kerajaan kini mempercepat pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan penggunaan dana awam lebih cekap dan mampu mengurangkan beban kewangan negara.

“Kerajaan sedang mempercepatkan peralihan kepada mekanisme subsidi bersasar yang lebih cekap. Langkah ini penting bagi memastikan dana awam digunakan secara optimum sekali gus mengurangkan beban kewangan negara akibat lonjakan harga minyak mentah dunia,” katanya dipetik laporan media.

Beliau berkata, sebarang penyusunan semula perbelanjaan akan dilakukan secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi domestik dan kesejahteraan rakyat.

Krisis di Selat Hormuz yang menjadi laluan utama perdagangan minyak dunia mula mencetuskan kebimbangan banyak negara selepas konflik geopolitik di Asia Barat semakin memuncak.

Laluan itu mengendalikan hampir satu perlima bekalan minyak global dan sebarang gangguan memberi kesan besar kepada harga tenaga serta kos logistik antarabangsa.

Akmal berkata, kerajaan kini menilai semula keutamaan perbelanjaan negara berdasarkan kedudukan fiskal semasa, perkembangan ekonomi global dan keperluan rakyat yang semakin berubah.

“Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dunia, tekanan inflasi dan peningkatan kos projek, pendekatan penyusunan semula perbelanjaan penting supaya sumber kewangan negara dapat disalurkan kepada program yang benar-benar kritikal dan berimpak tinggi,” katanya.

Menurut beliau, tumpuan akan terus diberikan kepada sektor penting seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan makanan, pengangkutan awam, tebatan banjir dan pendigitalan perkhidmatan kerajaan.

Pada masa sama, kerajaan mahu memastikan projek pembangunan dan infrastruktur yang mampu merangsang ekonomi dapat diteruskan terutama projek yang bersifat people-centric dan boleh dilaksanakan segera.

Mengulas kesan krisis itu terhadap ekonomi, Akmal berkata sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan antara yang paling terjejas berikutan peningkatan kos bahan mentah, logistik dan insurans.

Katanya, kos pengangkutan dilaporkan meningkat hampir dua kali ganda manakala premium insurans penghantaran melonjak sehingga 16 kali ganda susulan konflik berkenaan.

“Gangguan rantaian bekalan global dijangka memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran makanan dan operasi industri sekiranya situasi berterusan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana kini berdepan tekanan kos operasi yang semakin tinggi akibat krisis tenaga global.

Bagi menjamin bekalan tenaga negara, Akmal berkata Petronas telah mempelbagaikan sumber import minyak mentah dan produk petroleum dari beberapa rantau termasuk Amerika Selatan, Afrika Barat dan Asia Tengah bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan Selat Hormuz.

Selain itu, kerajaan turut menjalinkan kerjasama terus antara kerajaan dengan beberapa negara termasuk Australia dan China bagi memastikan bekalan bahan mentah industri serta baja kekal stabil.

Akmal berkata kerajaan memahami kebimbangan rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup dan memberi jaminan pemantauan rapi sedang dilakukan bagi memastikan ekonomi negara kekal stabil.

Menurut beliau, kerajaan kini melaksanakan pemantauan harian menerusi Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global bagi menilai perkembangan harga minyak, kadar tukaran mata wang dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa supaya langkah intervensi dapat dilakukan dengan lebih pantas.

Berita berkaitan
Anwar ajak rakyat tolak kebencian sempena Hari Wesak
May 31, 2026· Isu semasa
Anwar umum kenaikkan Geran Interim kepada Sabah RM1.5 Bilion
22 jam lalu· Isu semasa
Rafizi bebas pilih haluan politik sendiri: Akmal Nasrullah
22 jam lalu· Politik
Anwar tegas mahu Sabah, Sarawak terus maju
22 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Amanah Selangor bidas Liu berhubung isu ladang babi
22 jam lalu · Isu semasa
Anwar mahu kementerian berjimat hadapi tekanan ekonomi global
May 29, 2026 · Isu semasa
SPRM teliti dakwaan penyelewengan projek naik taraf Stadium Bukit Jalil
May 29, 2026 · Isu semasa
Najib fail bukti baharu dalam rayuan kes 1MDB
May 29, 2026 · Isu semasa
Subsidi BUDI95: MoF beri amaran salah guna MyKad tanpa kebenaran
May 29, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok