Naib Ketua AMK, Nabil Halimi.
Pertikaman lidah antara pemimpin Pemuda PKR dan UMNO terus memuncak apabila Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, sebagai “parasit” dalam Kerajaan Perpaduan susulan kenyataannya yang dilihat berbaur ugutan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Naib Ketua AMK, Nabil Halimi berkata Akmal sepatutnya memahami latar belakang pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), yang menurutnya diwujudkan atas titah Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan kestabilan politik negara.
Menurut beliau, kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) itu turut disokong oleh Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan beberapa Ahli Parlimen bebas.
“Saya hairan mengapa Akmal gagal faham perkara ini. Atau mungkin dia sengaja buat tidak faham kerana memang menjadi parasit dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nabil turut mencabar Ahli Parlimen UMNO supaya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Anwar sekiranya mereka benar-benar merasakan parti itu tidak lagi dihargai dalam pentadbiran kerajaan.
“Akmal tidak perlu mengugut Perdana Menteri supaya membuang semua Ahli Parlimen UMNO daripada kerajaan. Jika UMNO merasakan mereka tidak dihargai dan tidak lagi percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri, saya cabar mereka mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau turut menyindir Akmal dengan menyifatkannya sebagai “ikon kaki ugut negara” sekiranya cabaran tersebut tidak disahut.
Kenyataan Nabil itu dibuat bagi mempertahankan penjelasan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang sebelum ini menyentuh mengenai proses pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU-15.
Terdahulu, Akmal membidas kenyataan Kamil yang mendakwa Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, bersikap angkuh apabila mengingatkan mengenai peranan BN dalam pembentukan kerajaan.
Menurut Akmal, pemimpin PKR sendiri pernah menemui kepimpinan UMNO di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi mendapatkan sokongan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu.
“Mungkin kamu terlupa atau buat-buat lupa apa yang berlaku ketika penubuhan Kerajaan Perpaduan dahulu. Pemimpin parti kamu datang ke Seri Pacific untuk bertemu kepimpinan UMNO bagi menubuhkan kerajaan bersama,” katanya.
Akmal turut mencabar Anwar supaya menyingkirkan semua Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan jika benar BN dianggap tidak memainkan peranan dalam pembentukan pentadbiran semasa.
Saravanan didakwa tiga pertuduhan, berkait kuota pekerja asing
Tiada lesen judi baharu bawah Kerajaan MADANI, Sanusi jangan auta: MOF
Ismail Sabri bebas dengan jaminan RM300,000 dibayar anak
PKR Kedah: Sanusi jangan alih tiang gol, jawab isu lesen judi
RM14.7 juta, mata wang asing dan emas: Ismail Sabri didakwa
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri