DAPSY pertahan dakwaan Mohamad Hasan terlibat krisis politik Negeri Sembilan

June 10, 2026 · Politik

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong mempertahankan dakwaan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan menerusi gerakan yang disifatkannya sebagai “tebuk atap”.

Merujuk kepada surat bertarikh 25 Mei yang didakwa dihantar Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kepada kepimpinan PAS dan kemudiannya tersebar kepada umum, Kah Leong berkata dokumen itu mendedahkan perancangan terancang yang membawa kepada krisis politik di negeri berkenaan.

Menurut beliau, dakwaan Barisan Nasional (BN) terpaksa bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri akan datang kerana Pakatan Harapan (PH) mahu bertanding semua kerusi adalah tidak berasas.

“Apabila surat Muhyiddin mendedahkan segalanya, kini sesetengah pemimpin BN pula bertindak seolah-olah menjadi mangsa dan memutarbelitkan keadaan dengan mendakwa mereka terpaksa bertanding solo kerana PH sudah merancang untuk bertanding kesemua kerusi.

“Ini adalah pembohongan dan penafian fakta yang sudah terang lagi bersuluh, malah sangat hipokrit,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kah Leong yang juga Ketua Pemuda PH mendakwa krisis politik di Negeri Sembilan berpunca daripada tindakan 14 ADUN UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar ketika itu, Aminuddin Harun.

Beliau turut mendakwa tindakan tersebut bukan hanya melibatkan ADUN biasa, malah membabitkan seorang menteri kabinet yang juga pemimpin nombor dua UMNO.

Katanya, tiada mana-mana pihak yang memaksa UMNO melakukan percubaan mengambil alih pentadbiran negeri melalui pintu belakang, justeru parti itu perlu bertanggungjawab terhadap krisis yang berlaku.

“Hanya dengan pembubaran DUN yang mengembalikan kuasa kepada rakyat, barulah kestabilan politik dapat dipulihkan dan pihak yang menjadi dalang kepada krisis ini dihukum melalui proses demokrasi,” katanya.

Dakwaan Kah Leong dibuat berdasarkan kandungan surat yang dikaitkan dengan Muhyiddin, yang memperincikan beberapa siri perbincangan antara PAS, Bersatu dan UMNO sebelum penarikan sokongan terhadap Aminuddin pada 27 April lalu.

Menurut surat itu, satu pertemuan diadakan pada 24 April di ibu pejabat Bersatu yang melibatkan pemimpin kanan PAS dan Bersatu serta beberapa ADUN daripada kedua-dua parti.

Perbincangan kemudiannya dikatakan diteruskan di sebuah hotel di Kuala Lumpur dengan kehadiran Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, bersama beberapa ADUN UMNO.

Surat tersebut mendakwa satu persetujuan dicapai supaya 14 ADUN UMNO menarik balik sokongan terhadap Aminuddin terlebih dahulu sebelum lima ADUN Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan secara terbuka.

Langkah itu didakwa bertujuan mengelakkan tanggapan PN merancang gerakan menjatuhkan kerajaan negeri melalui pintu belakang.

Bagaimanapun, pada 3 Mei lalu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Mohamad menjadi dalang kepada tindakan BN Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin.

Beliau menjelaskan Mohamad hanya bertindak sebagai orang tengah dalam usaha mencari penyelesaian kepada kemelut politik yang berlaku ketika itu.

Berita berkaitan
BN yakin agihan kerusi PRN Johor, Negeri Sembilan tiada pertindihan
June 10, 2026· Politik
AMK bidas Akmal cuba ugut PMX, nasihat jangan jadi parasit
June 10, 2026· Politik
SPR bermesyuarat Jumaat, dijangka umum tarikh PRN Johor dan Negeri Sembilan
5 jam lalu· Politik
Pemasyhuran di Melaka tidak sah dan langgar adat istiadat: Pengelola Bijaya Negeri Sembilan
19 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Parti Amanah sindir PAS lebih teruk daripada bau kambing, hanya fikir kepentingan diri
June 10, 2026 · Politik
PAS bukan putus hubungan terus dengan Bersatu: Tuan Ibrahim
June 10, 2026 · Politik
PAS nampak gila kuasa masih dalam PN tetapi ceraikan Bersatu: Mahfuz
4 jam lalu · Politik
Muktamad! Tiada kerjasama dengan PAS walaupun putus dengan Bersatu: Zahid
June 9, 2026 · Politik
UMNO jangan ulang formula lama kerjasama dengan PAS: Mahfuz
June 9, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok