Timbalan Ketua AMK Johor, Sharwin Subramani
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mempersoalkan pendirian sebenar UMNO berhubung kerjasama politik dengan DAP selepas beberapa kenyataan pemimpinnya dilihat bercanggah dengan keputusan terkini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Timbalan Ketua AMK Johor, Sharwin Subramani berkata kenyataan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi sebelum ini yang menyatakan lebih rela tidak menjadi Menteri Besar daripada membentuk kerajaan bersama DAP telah memberi gambaran parti itu tidak boleh diterima sebagai rakan politik di Johor.
Menurut beliau, pendirian tersebut turut diperkukuhkan apabila Onn Hafiz semasa pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Johor baru-baru ini menegaskan BN tidak akan duduk semeja dengan DAP dan bersedia bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bagaimanapun, katanya, keputusan MKT UMNO yang bermesyuarat malam tadi menunjukkan pendirian berbeza apabila parti itu menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi menjamin kestabilan politik negara.
“Rakyat tentunya tertanya-tanya pendirian yang mana satu sebenarnya mewakili UMNO. Adakah UMNO menolak kerjasama dengan DAP atau sebaliknya terbuka kepada kerjasama politik demi kestabilan negara?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perbezaan nada antara kepimpinan UMNO di peringkat negeri dan pusat hanya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai hala tuju sebenar parti itu menjelang pilihan raya akan datang.
Sharwin turut membangkitkan keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 2022 yang dibuat ketika kerajaan negeri ketika itu masih mempunyai majoriti lebih dua pertiga dan berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal.
Menurutnya, jika kestabilan politik menjadi alasan utama UMNO dalam mempertahankan pendekatan politik semasa, parti itu perlu menjelaskan rasional di sebalik keputusan berkenaan.
“Ketika itu alasan yang digunakan ialah untuk mendapatkan mandat lebih kukuh dan mewujudkan kestabilan politik. Jadi rakyat berhak bertanya sama ada keputusan tersebut benar-benar dibuat atas faktor kestabilan atau sebenarnya terdapat pertimbangan politik lain yang lebih menguntungkan parti ketika itu,” katanya.
Beliau berkata, persoalan itu semakin relevan apabila UMNO kini menjadikan kestabilan politik sebagai hujah utama dalam mempertahankan pendirian politik terbaharunya.
Pada masa sama, Sharwin mendakwa rakyat berhak mengetahui sama ada sokongan pengundi di Johor terhadap BN semakin terhakis sehingga memerlukan naratif politik yang berbeza mengikut lokasi dan keadaan.
“Di Johor, DAP digambarkan seolah-olah tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan. Tetapi di Putrajaya, UMNO terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai DAP. Perbezaan mesej seperti ini hanya mengundang kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara berbanding terus terlibat dalam polemik politik yang berpanjangan.
Katanya, rakyat kini berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi global dan pelbagai cabaran harian yang memerlukan penyelesaian segera.
“Rakyat mahukan penyelesaian, bukannya percaturan politik yang tidak berkesudahan. Sudah tiba masanya semua pemimpin politik menunjukkan kematangan dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan parti,” katanya.
Calon PH cabar calon BN berdebat depan pengundi Jeram Padang
Hanya mohon sokongan pengundi awal, bukan beri arahan
PMX dedah 50 ekar bandar diisytihar tanah rizab Melayu, nafi abai Bumiputera
PKR tidak perlu bersaing politik identiti
Isu kaum dan agama hanya retorik kempen selepas kehabisan modal: Tze Tzin
[VIDEO] Khaled Nordin lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih