Zaid Ibrahim dicabar berhubung isu hudud oleh Setiausaha Agung Amanah, Faiz.
Parti Amanah mencabar bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, supaya menjelaskan pendiriannya mengenai pelaksanaan hudud selepas menyertai PAS baru-baru ini.
Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata Zaid perlu menyatakan secara terbuka sama ada beliau masih berpegang kepada pendirian terdahulu yang pernah mencabar undang-undang hudud Kelantan di mahkamah atau kini menyokong perjuangan PAS.
Menurut Faiz, Zaid pernah memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Kelantan dan Terengganu berhubung pelaksanaan undang-undang hudud atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Beranikah Zaid Ibrahim memohon maaf kepada PAS kerana pernah mencabar undang-undang hudud Kelantan sekiranya beliau ikhlas mahu bersama PAS?
“Kes ini pernah dibawa ke Mahkamah Persekutuan kerana didakwa tidak berperlembagaan. Adakah sekarang Zaid telah berubah pendirian?” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Faiz turut mengingatkan PAS sebelum ini pernah mengkritik Perlembagaan Persekutuan dengan mendakwa ia tidak bersifat Islamik kerana diwarisi daripada penjajah.
Sehubungan itu, beliau mencabar Zaid untuk memilih antara mempertahankan Perlembagaan Persekutuan atau menyokong pelaksanaan undang-undang hudud yang diperjuangkan PAS.
“Saya cabar Zaid untuk memilih antara Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang hudud,” katanya.
Pada 2002, Zaid yang ketika itu merupakan peguam dan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan terhadap kerajaan Kelantan dan Terengganu.
Beliau mendakwa kedua-dua kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah serta memohon pengisytiharan bahawa enakmen hudud yang diluluskan tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Beliau sekali lagi memohon kebenaran mahkamah pada 2003 untuk mencabar Enakmen Kesalahan Jenayah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 sebelum menarik balik tindakan tersebut.
Dalam satu wawancara pada 2014, Zaid memaklumkan diminta menarik balik saman berkenaan, namun tidak mendedahkan pihak yang terlibat.
Dalam kenyataan sama, Faiz turut mempersoalkan sama ada penyertaan Zaid ke dalam PAS bertujuan membawa parti itu ke arah yang lebih liberal.
“Adakah usaha Zaid dalam PAS sekarang lebih kepada meliberalkan PAS? Adakah PAS bersedia untuk menarik balik perjuangan hudud sekiranya PAS berjaya diliberalkan?” katanya.
PAS pada Sabtu lalu mengumumkan penyertaan Zaid dalam satu majlis di Seremban yang turut menyaksikan beberapa tokoh lain menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Nie Ching tegur bahasa digunakan ketua pengarah JKOM baharu
Syam Ghaz akan ambil tindakan undang-undang terhadap Lim Sian See
PKR sahkan bertanding 16 kerusi di Negeri Sembilan, 20 di Johor
UMNO nafi dakwaan jadi punca kerajaan Negeri Sembilan tidak stabil: Asyraf Wajdi
Nama parti Wawasan sudah ada di Sarawak, RoS digesa campur tangan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi