Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir
Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir menegaskan sistem kemasukan ke universiti awam (UA) di negara ini dilaksanakan menerusi mekanisme yang jelas, telus serta berasaskan merit dan syarat kelayakan yang ditetapkan.
Beliau berkata, universiti awam sentiasa komited memastikan peluang melanjutkan pengajian diberikan secara adil kepada semua calon yang memenuhi syarat kemasukan.
Menurutnya, dakwaan bahawa antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti melalui saluran yang tidak sah atau menyalahi peraturan perlu disokong dengan bukti dan fakta yang boleh disahkan.
“Tuduhan sebesar ini tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa sebarang pembuktian. Dalam dunia akademik, angka bukan sekadar angka. Setiap angka yang disebut mesti mempunyai sumber, metodologi dan asas yang boleh disemak serta diuji kebenarannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan beberapa universiti awam telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kenyataan yang dikeluarkan berhubung isu berkenaan.
“Tindakan ini bukan bertujuan menutup ruang kritikan atau menyekat kebebasan bersuara. Sebaliknya, ia diambil bagi memastikan setiap tuduhan yang dilemparkan dapat dibuktikan dan dipertanggungjawabkan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Haim Hilman Abdullah, yang mendakwa universiti awam menawarkan tempat kepada calon pelajar di luar sistem Unit Pusat Universiti (UPU).
Mengulas lanjut, Zambry berkata kebebasan bersuara tidak seharusnya digunakan untuk menyebarkan tuduhan tanpa asas yang kukuh.
“Kritikan adalah sebahagian daripada amalan demokrasi dan budaya intelektual yang sihat. Namun, kritikan mestilah berpaksikan fakta, bukti dan kejujuran intelektual.
“Dalam dunia akademik, hujah dijawab dengan fakta, analisis disokong dengan data dan tuduhan yang serius mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya bukti tidak dapat dikemukakan, pihak yang membuat dakwaan perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan.
Zambry turut mengingatkan individu yang mempunyai latar belakang akademik, khususnya yang memegang gelaran doktor atau profesor, perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kepada umum.
Katanya, tradisi akademik menuntut setiap pandangan dan hujah disokong oleh fakta, data serta bukti yang boleh dipertanggungjawabkan, selain mengamalkan budaya perbahasan yang beradab dan beretika.
“Selama ini saya mengambil pendekatan terbuka terhadap pelbagai pandangan dan kritikan yang dikemukakan terhadap KPT mahupun institusi pendidikan tinggi negara. Kita sentiasa bersedia menerima teguran yang konstruktif demi memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara,” katanya.
Sambutan Hari Peneroka ditangguh atas permintaan kerajaan Johor sendiri? – Sumber
Harga diesel turun 30 sen, subsidi kerajaan cecah RM3.5 bilion sebulan
Berfikir sebelum bertindak, Sultan Nazrin ingatkan pemimpin
13 individu direman, SPRM bongkar sindiket rasuah RM2.5 juta
RTM ambil langkah sekat akses VPN ke RTMKLIK
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar