Bekas MB Perlis, Azlan Man.
Perbicaraan kes membabitkan bekas Menteri Besar Perlis, Azlan Man, yang berdepan pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM1 juta, selesai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat selepas 21 saksi tampil memberi keterangan.
Semasa prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat memaklumkan saksi pembelaan ke-21, Mawar Awang yang merupakan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Belanjawan Kementerian Pengajian Tinggi, adalah saksi terakhir yang dipanggil dalam kes berkenaan.
“Pihak pendakwaan tidak berhasrat menawarkan saksi lain kepada pihak pembelaan sekiranya tertuduh dipanggil membela diri,” katanya di mahkamah.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis, manakala hujahan balas akan didengar pada 7 September. Sesi klarifikasi pula dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober.
Perbicaraan yang bermula pada 18 Julai 2024 itu menyaksikan pelbagai saksi dipanggil memberi keterangan, termasuk bekas Pengarah Urusan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd, Shafiei Ismail; bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Norazlan Yahya; serta bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Azlan, Herwardy Hashim.
Turut memberi keterangan ialah Penolong Pegawai Siasatan Cawangan AMLA, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Safwan Arbangi.
Azlan, 67, didakwa atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kemudahan cuti ke luar negara bernilai lebih RM1.18 juta di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 hingga Disember 2017.
Tuntutan tersebut didakwa melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London serta invois daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, Azlan turut berdepan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara Februari 2014 hingga Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk bank di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Sebagai pertuduhan pilihan, beliau juga didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM1.06 juta milik Kerajaan Negeri Perlis yang didakwa dibayar kepada dua syarikat pelancongan terbabit.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara, sebatan dan denda jika disabitkan.
Selangor umum bantuan rakyat RM209 juta, Johor pula bersedia untuk pilihan raya: AMK
PAS perlu uji kekuatan sebenar ‘gelombang hijau’, tinggalkan PN bertanding guna bulan
DAP ikhlas dengan UMNO, bukan hanya kawan masa senang: Nie Ching
PAS disaran keluar PN, bentuk gabungan baharu bersama UMNO: Tun Faisal
PKR teliti tindakan undang-undang terhadap Rafizi, Nik Nazmi
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar