Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
Kerajaan memperuntukkan dana pembiayaan berjumlah RM9.8 bilion menerusi enam institusi kewangan utama bagi memperluaskan akses mikro kredit kepada penjaja dan usahawan kecil di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata peruntukan besar itu bertujuan memastikan golongan peniaga kecil tidak tercicir daripada menerima bantuan modal yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Menurut beliau, usaha berkenaan dilaksanakan melalui Program Mikro Kredit Turun Padang yang membolehkan kerajaan dan agensi berkaitan turun terus ke lapangan untuk mendekati usahawan mikro serta memahami cabaran sebenar yang dihadapi mereka.
“Lawatan ini boleh memberi suntikan semangat kepada institusi yang terlibat dan juga membolehkan kita mencari jalan supaya lebih ramai penjaja kecil mendapat akses kepada pembiayaan mikro,” katanya selepas menghadiri Program Mikro Kredit Turun Padang siri keempat di Pasar Tani Dataran Puchong Permai hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan kini sedang giat mengumpulkan maklum balas daripada peniaga di peringkat akar umbi, khususnya mereka yang berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan.
Katanya, segala pandangan dan cadangan yang diterima akan diteliti sebelum dibawa ke peringkat tertinggi kerajaan untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan akan datang.
“MOF akan pertimbangkan dan kita harap boleh dapat maklum balas untuk Perdana Menteri pertimbangkan semasa belanjawan,” katanya.
Program tersebut turut melibatkan beberapa agensi utama yang menyediakan khidmat nasihat dan memudahkan proses permohonan pembiayaan secara terus kepada peniaga, termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, Bank Rakyat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Setakat ini, seramai 12 penjaja di Pasar Tani Dataran Puchong Permai berjaya memperoleh kelulusan pembiayaan. Daripada jumlah itu, tujuh penerima mendapat pembiayaan daripada AIM, tiga daripada BSN dan dua lagi daripada Agrobank.
Program Mikro Kredit Turun Padang di Puchong merupakan siri keempat selepas penganjurannya di Pasar Tani Taman Melawati, Pasar Tani Kelana Jaya dan Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri.
Inisiatif itu dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum