Iran pelawa Malaysia teroka kerjasama bekalan minyak: Laporan

June 23, 2026 · Isu semasa

Iran melihat peluang besar untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dengan Malaysia, khususnya dalam sektor tenaga, susulan kelonggaran sementara sekatan minyak yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS).

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, pengecualian sementara selama 60 hari yang diberikan terhadap jualan minyak mentah Iran membuka ruang kepada negara-negara lain, termasuk Malaysia, untuk mendapatkan bekalan minyak dan produk petroleum dari republik itu tanpa halangan sekatan.

Menurut beliau, perkembangan tersebut memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk memperluaskan hubungan ekonomi yang telah lama terjalin di samping memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang lain.

“Mana-mana negara kini boleh membeli minyak dan hasil pengeluaran minyak dari Iran, dan tiada larangan terhadap kerjasama sedemikian. Oleh itu, Malaysia juga boleh datang dan membeli minyak dari Iran,” katanya dipetik laporan Sinar Harian pemberita selepas menghadiri Persidangan Ekonomi Maritim Global 2026 di ibu negara hari ini.

Persidangan bertemakan ‘Advancing Resilience and Accelerating Sustainable Maritime Growth’ itu menghimpunkan pemain industri dan pembuat dasar bagi membincangkan cabaran serta peluang ekonomi maritim global dalam suasana geopolitik yang tidak menentu.

Valiollah berkata, hubungan baik yang dinikmati Malaysia dan Iran dalam bidang politik, budaya, sains serta teknologi menjadi asas kukuh untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi pada masa depan.

“Ada peluang yang baik bagi kedua-dua pihak untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi. Tiada sebarang halangan dan saya yakin rundingan teknikal boleh diadakan antara pihak Iran dan Malaysia sekiranya Petronas atau mana-mana syarikat lain berminat untuk membeli minyak Iran,” katanya.

Beliau turut menjelaskan perjanjian semasa antara Iran dan AS masih berkuat kuasa untuk tempoh 60 hari, sementara kedua-dua pihak meneruskan rundingan bagi mencapai persetujuan yang lebih menyeluruh.

“Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk meneruskan rundingan ke arah perjanjian akhir. AS mesti menunjukkan komitmen dengan melaksanakan janji dan tanggungjawabnya,” katanya.

Malaysia dan Iran sebelum ini mempunyai hubungan kerjasama dalam sektor minyak dan gas.

Petronas pernah terlibat dalam beberapa projek huluan di Iran, namun berdasarkan maklumat awam, syarikat minyak nasional itu tidak lagi mempunyai operasi aktif di negara berkenaan selepas menarik diri daripada pembangunan medan gas sebelum ini.

Kelonggaran sekatan itu diumumkan selepas pusingan pertama rundingan antara Iran dan AS di Switzerland yang bertujuan mencari penyelesaian terhadap konflik dan pertikaian berpanjangan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, agensi berita Anadolu melaporkan Iran telah mengeksport kira-kira 36 juta tong minyak mentah sejak 15 Jun lalu, manakala jumlah yang hampir sama masih berada di atas kapal luar pesisir sementara menunggu penghantaran ke pasaran antarabangsa.

Berita berkaitan
Polis Johor siasat tiga kes bendera terbalik
August 20, 2026· Isu semasa
Subsidi cecah RM3.5 Bilion sebulan jika minyak dunia naik AS$90
July 22, 2026· Isu semasa
Bekalan minyak negara terjamin, kerajaan pelbagaikan sumber: PMX
July 14, 2026· Isu semasa
Malaysia bida kerusi Majlis Keselamatan PBB
July 13, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Anwar rasmi Menara FINAS baharu, industri kreatif masuk fasa baharu
3 jam lalu · Isu semasa
Mahkamah tolak permohonan lucut hak wang RM21.1 juta Aman Palestin
4 jam lalu · Isu semasa
Menara FINAS buka era baharu industri filem: Fahmi
4 jam lalu · Isu semasa
Ashwad, Ziana Zain terima gelaran Datuk Melaka
5 jam lalu · Isu semasa
Ringgit terus mengukuh, data ekonomi jadi pemangkin
9 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok