Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali juga sebagai Papagomo.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah injunksi interim ex-parte terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo dalam satu tindakan sivil yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan perintah itu melarang Wan Azri daripada menerbitkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya berkenaan serta mengarahkan menghentikan serta-merta penerbitan dan penyebaran kandungan yang disifatkan sebagai memudaratkan di platform media sosial.
Menurut MCMC, mahkamah turut menetapkan Wan Azri tidak boleh menggunakan mana-mana platform media sosial untuk menyebarkan kandungan palsu, mengelirukan atau memudaratkan sama ada melalui akaun sedia ada mahupun akaun baharu.
“Perintah injunksi interim ini akan terus berkuat kuasa sehingga pendengaran inter-partes atau arahan lanjut oleh mahkamah,” menurut kenyataan itu.
Tindakan undang-undang tersebut susulan Notis Tuntutan yang dikeluarkan MCMC kepada Wan Azri pada 9 April lalu berhubung dakwaan penerbitan kandungan palsu yang menuduh suruhanjaya itu menyekat laporan berita portal MalaysiaGazette.
MCMC turut mendakwa individu berkenaan berulang kali menggunakan akaun media sosialnya untuk menyebarkan kandungan yang dianggap memudaratkan dalam talian.
Menurut suruhanjaya itu, tindakan mendapatkan injunksi interim dan memulakan prosiding sivil dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada yang memberi tumpuan kepada kandungan dalam talian yang boleh menjejaskan kepentingan awam, mengganggu keharmonian masyarakat serta menghakis keyakinan terhadap institusi awam.
“MCMC komited memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang,” menurut kenyataan tersebut.
Pendengaran inter-partes bagi kes berkenaan dijangka menentukan sama ada perintah injunksi interim itu akan dikekalkan, dipinda atau dibatalkan selepas kedua-dua pihak diberikan peluang mengemukakan hujah masing-masing di mahkamah.
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pelaburan palsu punca kerugian tertinggi penipuan dalam talian
Rayuan ditolak, perbicaraan kes rasuah Guan Eng diteruskan
Pelajar IPTS warga asing ditemui maut di kondo, rakan senegara ditahan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar