Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.
Pemilik kenderaan diesel di Sarawak yang memerlukan penggunaan bahan api melebihi kuota asas 200 liter sebulan tidak perlu tergesa-gesa membuat permohonan kerana kerajaan tidak menetapkan sebarang tarikh tutup bagi permohonan kuota tambahan diesel di bawah program subsidi bersasar.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, permohonan tambahan 100 liter diesel sebulan akan terus dibuka bagi memastikan semua individu yang layak berpeluang memohon pada bila-bila masa, termasuk mereka yang baru membeli kenderaan diesel pada masa hadapan.
Menurutnya, kerajaan mengambil pendekatan yang lebih fleksibel bagi memastikan tiada pihak yang tercicir daripada menikmati manfaat subsidi tersebut.
“Dari segi kelayakan untuk memohon, tidak ada tempoh masa. Kita perlu memahami bahawa mungkin hari ini seseorang itu tidak mempunyai kenderaan diesel, tetapi bulan depan dia membeli pikap atau jeep dan layak membuat permohonan.
“Kita tidak mahu meletakkan syarat bahawa ini hanya tawaran sekali sahaja. Sebab itu permohonan ini akan terus dibuka kerana matlamat utama kerajaan adalah untuk berlaku adil kepada semua,” katanya semasa sidang media selepas Taklimat Media mengenai Pelaksanaan Budi Diesel hari ini.
Dalam pada itu, Amir Hamzah menjelaskan kerajaan belum bercadang untuk menyemak semula kuota asas 200 liter diesel sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Katanya, kerajaan mahu melihat terlebih dahulu keberkesanan pelaksanaan mekanisme tersebut sebelum mempertimbangkan sebarang perubahan pada masa hadapan.
Beliau berkata, berdasarkan data semasa, hanya 0.76 peratus pengguna diesel menggunakan bahan api melebihi 200 liter sebulan, menunjukkan kuota yang ditetapkan mampu memenuhi keperluan sebahagian besar pengguna.
“Data yang kita ada menunjukkan majoriti pengguna menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan. Jadi kita mahu menilai dahulu pelaksanaan ini sebelum membuat sebarang keputusan lanjut,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan mekanisme pengapungan harga diesel di stesen minyak akan terus dikekalkan sebagai langkah utama kerajaan bagi mengekang ketirisan subsidi dan memastikan bantuan hanya dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan kuota asas diesel bagi penerima program BUDI Diesel di Sarawak akan dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 Julai.
Bagaimanapun, pemilik kenderaan diesel persendirian yang mempunyai keperluan penggunaan lebih tinggi boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan, menjadikan jumlah keseluruhan kuota subsidi kekal pada 300 liter bagi mereka yang layak.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
Mahkamah sekat Papagomo sebar kandungan didakwa memudaratkan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar