Kos sara hidup lebih terkawal, inflasi turun empat tahun berturut-turut: Armizan

June 25, 2026 · Isu semasa

Kadar inflasi negara menunjukkan trend penurunan secara konsisten selama empat tahun berturut-turut, sekali gus mencerminkan keadaan kos sara hidup yang semakin stabil berdasarkan beberapa petunjuk ekonomi utama.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata kadar inflasi merekodkan 1.4 peratus pada 2025 berbanding 1.8 peratus pada 2024, 2.5 peratus pada 2023 dan 3.3 peratus pada 2022.

Menurut beliau, Indeks Kos Sara Hidup turut mencatatkan penurunan kepada 1.9 peratus pada 2024 berbanding 3.1 peratus pada tahun sebelumnya.

“Kadar inflasi negara berada dalam trend pergerakan mereda iaitu 1.4 peratus pada 2025, berbanding 1.8 peratus pada 2024, 2.5 peratus bagi 2023 dan 3.3 peratus pada 2022,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai ukuran sebenar kejayaan kerajaan dalam menangani kos sara hidup ketika harga makanan, sewa rumah dan kos perkhidmatan masih dirasakan membebankan, khususnya bagi golongan M40 dan B40.

Armizan berkata, penilaian terhadap kejayaan kerajaan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan pergerakan harga makanan, sewa rumah atau kos perkhidmatan semata-mata kerana harga barangan dan perkhidmatan dipengaruhi pelbagai faktor di luar kawalan kerajaan.

Katanya, antara faktor tersebut ialah keadaan ekonomi global, situasi geopolitik, kadar pertukaran mata wang, perubahan iklim serta gangguan rantaian bekalan.

“Selain memastikan pergerakan kos sara hidup dapat dikawal dengan baik, aspek penting yang perlu dilaksanakan ialah memastikan bekalan barangan kekal mencukupi, perkhidmatan dapat diakses secara menyeluruh serta peningkatan pendapatan rakyat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pendapatan isi rumah terus menunjukkan peningkatan, sekali gus membantu memperkukuh kemampuan rakyat menampung keperluan harian.

Menurutnya, pendapatan boleh guna purata isi rumah meningkat kepada RM7,584 pada 2024 berbanding RM7,111 pada 2022.

“Peningkatan ini menunjukkan bahawa pendapatan isi rumah terus berkembang dan membantu mengukuhkan keupayaan rakyat dalam menampung keperluan harian mereka,” katanya.

Kadar inflasi Malaysia melonjak pada 2022 susulan pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi global.

Sejak itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, termasuk kawalan harga, subsidi bersasar serta inisiatif meningkatkan pendapatan rakyat, yang menyumbang kepada trend inflasi yang semakin sederhana dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Berita berkaitan
CSA bukan tanda Bersatu sertai kerajaan, kekal pembangkang: Tun Faisal
20 jam lalu· Politik
Zaid Ibrahim puji langkah bijak Bersatu, Syed Saddiq tandatangan CSA dengan kerajaan
24 jam lalu· Politik
CSA perkukuh kestabilan politik negara: Zaliha
October 30, 2026· Politik
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
October 30, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
PMX arah isu e-dagang ditangani segera
19 jam lalu · Isu semasa
Dana Inovasi Media 2.0 diteruskan, lima skop pembiayaan ditawar: Fahmi
20 jam lalu · Isu semasa
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
20 jam lalu · Isu semasa
MAPIM gesa tindakan tegas terhadap kempen kebencian susulan serangan di Kulai
21 jam lalu · Isu semasa
MCMC menang tuntutan RM15.32 juta terhadap MajuBina
21 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok