Ketua Penerangan Parti Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.
UMNO perlu bertanggungjawab terhadap dasar kerajaan kerana menjadi sebahagian daripada pentadbiran bersama Pakatan Harapan (PH) dan DAP sejak empat tahun lalu, bukannya meletakkan kesalahan kepada Perdana Menteri dan PH semata-mata.
Ketua Penerangan parti, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kedudukan Bersatu berbeza kerana parti itu kekal sebagai pembangkang dan hanya menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bagi memastikan urusan pentadbiran negara dapat diteruskan.
Menurutnya, UMNO sepatutnya memikul tanggungjawab bersama terhadap dasar kerajaan, termasuk proses menggubal undang-undang, meluluskan dasar serta melaksanakannya.
“UMNO sepatutnya bertanggungjawab bersama terhadap setiap dasar kerajaan, sama ada baik atau buruk sepanjang empat tahun ini.
“Masalahnya, UMNO ‘pass the blame’ kepada Perdana Menteri dan PH, walaupun mereka sepatutnya memikul tanggungjawab bersama sebagai anggota kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tun Faisal berkata, CSA tidak bermaksud Bersatu menyertai kerajaan, sebaliknya menjadi mekanisme untuk memastikan urusan pentadbiran dan kewangan negara, termasuk kelulusan belanjawan di Parlimen, dapat berjalan lancar.
Beliau berkata, sokongan Ahli Parlimen Bersatu melalui perjanjian itu membolehkan kerajaan meneruskan urusan penting demi kepentingan rakyat, sementara parti berkenaan mengekalkan peranan sebagai pembangkang yang menjalankan fungsi semak dan imbang.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu termasuk presidennya, Muhyiddin Yassin menandatangani CSA dengan Kerajaan Madani pada Khamis.
Menerusi perjanjian itu, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen terbabit pada kadar setara dengan wakil rakyat kerajaan, dianggarkan antara RM3 juta hingga RM4 juta setahun.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, kerjasama itu turut memberi ruang kepada Bersatu menyuarakan cadangan bagi menangani kos sara hidup, meningkatkan pendapatan rakyat, melindungi peluang pekerjaan dan memperkukuh ekonomi negara.
Katanya, Bersatu juga mahu menggunakan saluran berkenaan untuk memperjuangkan reformasi institusi, termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, memisahkan peranan Peguam Negara daripada Pendakwa Raya serta memperkukuh integriti dan ketelusan pentadbiran.
Selain itu, agenda Bumiputera turut menjadi antara perkara yang mahu dipastikan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Tun Faisal menegaskan perbezaan ideologi antara Bersatu dengan kerajaan tidak sepatutnya menghalang kerjasama dalam perkara yang memberikan manfaat kepada rakyat.
“Dalam berpolitik, tenaga dan sumber sepatutnya digunakan untuk mencari penyelesaian, bukan dihabiskan dalam pertikaian yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.
“Politik bukan sekadar perebutan kuasa untuk membentuk kerajaan, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada usaha memelihara kepentingan rakyat, menyelesaikan masalah mereka dan menjamin masa depan negara,” katanya.
Projek30% puji langkah PKR ketengah calon wanita di PRN Melaka, cadang kuota diwajibkan
PRN Melaka: 189 borang penamaan calon dibeli, 45 calon bayar deposit
PAS dakwa pihak lawan gerun penyatuan dengan BN, yakin menang Melaka
PRN Melaka: Bersatu umum lapan calon, empat kerusi bertindih dengan PH
CSA jadi landasan kerjasama politik demi rakyat: PMX
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum