Annuar Musa.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Annuar Musa mengesahkan rundingan rasmi antara PAS dan UMNO sememangnya pernah berlangsung bagi membincangkan kemungkinan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, rundingan itu bukan sekadar dakwaan atau pertemuan biasa, sebaliknya melibatkan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai empat wakil daripada PAS dan empat wakil daripada UMNO bagi meneliti pelbagai pilihan kerjasama.
“Memang ada jawatankuasa yang ditubuhkan. Terdapat empat wakil daripada UMNO dan empat wakil daripada PAS yang duduk berbincang. Pelbagai pilihan dan kemungkinan dibincangkan,” katanya dalam Podcast Jam Kesebelas yang dikendalikan SuaraTV.
Bagaimanapun, Annuar berkata usaha itu tidak dapat dimuktamadkan selepas UMNO memutuskan untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menggunakan lambang Barisan Nasional (BN).
“Masa agak singkat. Kita sebenarnya cuba menggerakkan perkara ini sejak sebelum PRN Johor lagi. Tetapi apabila rundingan mula berjalan, UMNO telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di semua 56 kerusi menggunakan lambang BN. Jadi timbul beberapa kekangan yang menyebabkan usaha itu sukar direalisasikan untuk PRN Johor kali ini,” katanya.
Walaupun rundingan itu tidak membuahkan hasil bagi pilihan raya kali ini, beliau menegaskan hubungan antara PAS dan UMNO kini jauh lebih baik berbanding sebelum ini serta masih mempunyai ruang untuk diteruskan.
“Namun begitu, ini tidak bermakna rundingan tersebut tidak boleh diteruskan. Pintu perbincangan telah dibuka. Dahulu PAS dan UMNO tidak mahu duduk semeja. Sekarang sekurang-kurangnya perbincangan boleh berlangsung. Malah hubungan antara PAS dan UMNO hari ini jauh lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
Mengulas hala tuju PN, Annuar berkata PAS berpandangan gabungan itu perlu bersikap lebih terbuka dan inklusif dalam usaha memperkukuhkan penyatuan politik Melayu, termasuk membuka ruang perbincangan dengan parti-parti lain.
“PN mesti memperjuangkan penyatuan orang Melayu dan parti-parti politik Melayu sejauh yang boleh. PN tidak boleh menjadi terlalu eksklusif. PN perlu bersikap inklusif,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu turut menjadi antara perbezaan pandangan strategik antara PAS dan Bersatu dalam menentukan hala tuju gabungan berkenaan.
Sebelum ini, beberapa laporan media mendakwa wujud rundingan antara PAS dan UMNO menjelang PRN Johor, namun kedua-dua parti tidak pernah mengesahkan secara terbuka kewujudan mekanisme rasmi tersebut.
Pendedahan Annuar itu dilihat sebagai pengesahan paling jelas setakat ini bahawa rundingan berkenaan benar-benar berlaku, meskipun akhirnya gagal diterjemahkan kepada kerjasama pilihan raya.
PAS kempen calon sendiri sahaja, tidak bantu Bersatu di Johor: Hadi
SPR keluar peringatan menjelang penamaan calon PRN Johor
Sokongan terhadap Anwar kekal tertinggi: Tinjauan Merdeka Center
Selepas Puad keluar UMNO, bekas ADUN Layang-Layang pula umum sertai Bersatu
Puad pertahan cadang anak jadi calon, dakwa pemilihan tidak adil
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar