Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Perdana Menteri berhak menentukan siapa yang dilantik sebagai Peguam Negara, termasuk daripada kalangan ahli politik, selepas fungsi jawatan itu dipisahkan sepenuhnya daripada kuasa Pendakwa Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman, berkata perkara itu tidak seharusnya menjadi isu kerana Peguam Negara akan berperanan sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan, manakala kuasa pendakwaan dilaksanakan secara bebas oleh Pendakwa Raya.
“Terpulang kepada Perdana Menteri siapa yang hendak dilantik sebagai Peguam Negara. Itu hak beliau kerana Peguam Negara adalah penasihat kepada kerajaan.
“Kalau Perdana Menteri hendak melantik orang politik sebagai Peguam Negara, itu boleh dibuat, walaupun mungkin tidak popular. Tetapi perkara itu tidak boleh membabitkan Pendakwa Raya kerana fungsi pendakwaan perlu dilaksanakan secara bebas,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Kenyataan itu dibuat ketika kerajaan sedang meneruskan usaha memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, satu reformasi yang sering dibangkitkan bagi mengelakkan persepsi campur tangan politik dalam keputusan pendakwaan.
Ketika ini, Peguam Negara memegang dua fungsi utama iaitu menjadi penasihat undang-undang kepada kerajaan serta mempunyai kuasa budi bicara dalam memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding jenayah.
Pemisahan kuasa itu dijangka mewujudkan struktur lebih jelas antara peranan kerajaan dan institusi pendakwaan.
Azalina berkata, selepas pemisahan itu dilaksanakan, Peguam Negara wajar hadir ke Dewan Rakyat untuk menjawab persoalan berkaitan isu perundangan dan dasar yang dirujuk kepada kerajaan.
Menurutnya, kehadiran Peguam Negara dapat meningkatkan akauntabiliti serta mengelakkan menteri dipertanggungjawabkan menjawab perkara teknikal di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.
“Isunya ialah apabila seseorang menjadi Peguam Negara, dia adalah penasihat undang-undang kepada kerajaan, sama seperti seorang peguam yang memberikan nasihat kepada anak guamnya,” katanya.
Beliau berkata langkah itu juga akan memberi keadilan kepada menteri yang selama ini perlu menjawab soalan bagi pihak Jabatan Peguam Negara di Parlimen, termasuk dalam isu yang memerlukan penjelasan undang-undang terperinci.
Cadangan supaya Peguam Negara hadir ke Dewan Rakyat bukan perkara baharu.
Pada 2021, Azalina pernah mencadangkan supaya jawatan Peguam Negara digabungkan dengan portfolio Menteri Undang-Undang bagi membolehkan penyandangnya menjawab isu perundangan secara langsung di Parlimen.
Malaysia juga pernah mempunyai Peguam Negara yang memegang jawatan dalam Kabinet, Abdul Kadir Yusof pernah menerajui Kementerian Undang-Undang dan Kehakiman dari 1970 hingga 1975, manakala Hamzah Abu Samah memegang portfolio sama antara 1978 hingga 1982.
Perdebatan mengenai pelantikan Peguam Negara dijangka terus menjadi perhatian kerana ia berkait rapat dengan soal kebebasan institusi, ketelusan pentadbiran serta keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
PRN NS: Waspada maklumat palsu menjelang hari pengundian
Malaysia kini hanya 7.1 peratus lagi ke status negara berpendapatan tinggi
38 Pusat undi awal PRN Negeri Sembilan ditutup
560 kes kandungan memudaratkan berjaya diselesaikan MCMC
SPRM jejak dokumen pelaburan KWAP di tiga negara
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat