Kes Yayasan Akalbudi: Rayuan Zahid, AG didengar 8 Oktober

July 8, 2026 · Politik

Mahkamah Persekutuan menetapkan 8 Oktober ini untuk mendengar permohonan Ahmad Zahid Hamidi dan Peguam Negara bagi mendapatkan kebenaran merayu dalam kes membabitkan keputusan menghentikan prosiding terhadap beliau dalam pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi.

Pendengaran itu berkait keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lalu yang membenarkan Majlis Peguam memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan pendakwaan menghentikan kes berkenaan pada 4 September 2023.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi, yang mewakili Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar, mengesahkan permohonan kedua-dua pihak akan didengar bersama pada tarikh tersebut.

Peguam Majlis Peguam, S Abhilaash, turut mengesahkan penetapan tarikh itu selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Rahimah Rahim, pada Rabu.

“Permohonan Ahmad Zahid dan Peguam Negara akan didengar secara bersama pada 8 Oktober,” kata Ahmad Hanir ketika dihubungi.

Kes itu mendapat perhatian selepas Mahkamah Tinggi pada 4 September 2023 membenarkan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan atau DNAA daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Ketika itu, pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara mahu menghentikan prosiding bagi membolehkan bukti baharu diteliti.

Namun, Majlis Peguam kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan alasan keputusan tersebut perlu dicabar di mahkamah. Badan itu memohon deklarasi supaya keputusan DNAA yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Collin Lawrence Sequerah, diisytiharkan terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 menolak permohonan Majlis Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Keputusan itu bagaimanapun diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada Mei lalu, sekali gus membuka laluan kepada Majlis Peguam meneruskan cabaran terhadap keputusan pendakwaan.

Ahmad Zahid, yang dinamakan sebagai responden kedua dalam prosiding itu, memfailkan permohonan berasingan pada 25 Mei untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau mengemukakan lima persoalan undang-undang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi menyokong permohonannya.

Peguam Negara turut memfailkan permohonan berasingan dengan membangkitkan dua persoalan perundangan berkaitan kuasa budi bicara Pendakwa Raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Peguam Negara memohon semua prosiding di Mahkamah Tinggi digantung sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap permohonan kebenaran merayu tersebut.

Keputusan pada Oktober nanti dijangka memberi kesan penting terhadap skop kuasa Pendakwa Raya serta hak pihak luar untuk mencabar keputusan pendakwaan melalui semakan kehakiman.

Berita berkaitan
Rayuan Majlis Peguam cabar pengampunan Najib diputuskan 7 Januari: Bernama
11 jam lalu· Politik
Sivamalar soal Akmal: Kenapa diam isu Istana Negeri Sembilan?
11 jam lalu· Politik
Akaun TikTok Na’im disekat TikTok, bukan MCMC: Hakim Norliza
19 jam lalu· Politik
Zahid nafi dititah menghadap Tuanku Muhriz
21 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
AGC: Kerajaan Negeri Sembilan tiada kuasa gantung dua pegawai kanan
11 jam lalu · Politik
Krisis Negeri Sembilan: MB umum dua pegawai kanan digantung tugas
17 jam lalu · Politik
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
19 jam lalu · Politik
DUN Melaka sah bubar esok, PRN bakal diadakan: Ab Rauf
19 jam lalu · Politik
Pembatalan lantikan Exco Negeri Sembilan sah, ada asas Perlembagaan: Peguam
19 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok