Tony Pua.
Tony Pua menggesa rakyat terus memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sekiranya tidak mahu memberi laluan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadi perdana menteri.
Bekas Ahli Parlimen Damansara itu berkata, tindakan pengundi memilih parti yang disifatkannya sebagai “parti pengacau” atau tidak keluar mengundi hanya akan memberi kelebihan kepada BN untuk kembali menerajui kerajaan.
“Jika anda memilih tidak mengundi atau mengundi parti pengacau, anda akan membiarkan kerajaan ini tumbang sehingga parti yang menang nanti tidak lain dan tidak bukan ialah BN, dan perdana menteri anda yang seterusnya ialah Zahid.
“Adakah anda mahu Zahid Hamidi menjadi perdana menteri Malaysia seterusnya?” katanya ketika berucap pada majlis makan malam kutipan dana DAP.
Label “parti pengacau” dipercayai merujuk kepada Parti Bersama Malaysia yang dipimpin Rafizi Ramli.
Parti itu didakwa memecahkan undi penyokong PH sehingga menyebabkan gabungan tersebut tewas di dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hujung minggu lalu.
Pua yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin DAP mengakui masih terdapat beberapa agenda reformasi dijanjikan PH yang belum dapat dilaksanakan dan menyifatkannya sebagai usaha yang masih belum selesai.
Bagaimanapun, beliau menegaskan PH masih merupakan pilihan terbaik untuk mentadbir negara, dengan mengambil contoh prestasi ekonomi semasa termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini serta pengukuhan nilai ringgit.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, memiliki keupayaan mentadbir negara secara cekap dan bebas daripada rasuah.
Beliau turut menggesa penyokong PH terus memainkan peranan sebagai pengimbang dengan menegur dan mengkritik kerajaan supaya segala janji reformasi dapat disempurnakan.
“Bagi janji yang belum ditunaikan, teruslah memarahi mereka, teruslah kritik mereka, teruslah desak mereka supaya mereka menunaikan baki janji itu, tetapi pada masa yang sama teruslah menyokong mereka kerana mereka berada di kedudukan terbaik untuk melaksanakan reformasi,” katanya.
Hubungan antara PH dan BN semakin tegang sejak BN memutuskan untuk bertanding secara solo pada PRN Johor yang berlangsung pada 11 Julai lalu.
Sebelum itu, PH berharap kedua-dua gabungan dapat meneruskan kerjasama seperti yang dilaksanakan pada PRN enam negeri pada 2023.
Ketegangan itu dilihat semakin memuncak apabila BN kemudian memilih menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai hala tuju kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan menjelang PRU-16.
Kerjasama BN-PH bukan kontrak sampai mati
Tengku Zafrul nafi wujud sabotaj dalam kempen calon PKR
PAS yang patut keluar PN, bukan Bersatu
Sanusi memang gemar keluar kenyataan pelik
Aminuddin minta buktikan mana projek PH yang tertinggal
[VIDEO] Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik