eFishery: Keputusan pelaburan KWAP dibuat panel profesional

July 20, 2026 · Isu semasa

Semua keputusan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), termasuk pelaburan dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery dibuat secara bebas oleh panel pelaburan profesional tanpa campur tangan kerajaan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata setiap cadangan pelaburan melalui proses due diligence dan penelitian menyeluruh oleh panel pelaburan sebelum dibentangkan kepada lembaga pengarah, tanpa memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).

“(Panel ini) terdiri daripada golongan profesional terpilih. Selalunya keputusan itu dibuat dan dibentangkan kepada lembaga dan tidak memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).

“Keseluruhannya itu (panel dilantik dan lembaga) dari latar belakang profesional. Kalau dalam lembaga, tentunya ada wakil daripada kementerian, itu biasa. Tapi kalau pandang pelaburan, itu ‘strictly’ profesional.

“Sebab itu, sejak saya di MOF, laluan penuh, tidak ada campur tangan kerajaan atau pun tidak ada keperluan untuk membawa cadangan pelaburan untuk pertimbangan kerajaan atau Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata semua pihak yang dipertanggungjawabkan menguruskan dana persaraan diberi mandat melindungi serta meningkatkan nilai dana melalui strategi pelaburan yang mampu mengimbangi risiko dan pulangan.

Mengulas kerugian sekitar RM160 juta dialami KWAP dalam pelaburan eFishery, Anwar berkata kes itu didedahkan secara terbuka kerana melibatkan dana persaraan rakyat, namun menjelaskan penipuan yang berlaku sukar dikesan dan turut memperdaya pelabur antarabangsa.

“Pelaburan sekitar RM160 juta saya pilih untuk umumkan kerana wang ini dana persaraan. RM160 juta itu dilabur dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, e-Fishery. Tetapi ternyata sekarang, ada penipuan terancang.

“Soalannya, mengapa tidak diteliti? Jawabnya tentunya dari panel pelaburan (sudah) diteliti. Kerana dana dilabur itu walaupun (jumlahnya) besar, tapi kecil ketimbang dilakukan syarikat antarabangsa terkenal lain yang (jumlahnya) lebih besar. Penipuan ini, penipuan sangat canggih,” katanya.

Menurut beliau, beberapa pelabur institusi antarabangsa turut mengalami kerugian dalam syarikat sama, termasuk Aqua-Spark dari Belanda, 42X Fund dari Abu Dhabi, Temasek dari Singapura dan SoftBank.

“Itu semua pelaburan yang jauh lebih tinggi dari KWAP. Mereka semua terpedaya dan orang dipertanggungjawabkan itu sudah pun dipenjara. Tapi saya ingin sebut, apa kesannya kepada panel pelaburan dan juga KWAP. Kita harus menilai, melihat keseluruhannya,” katanya.

Anwar turut menegaskan kerugian dalam pelaburan eFishery tidak menjejaskan prestasi keseluruhan KWAP, yang merekodkan keuntungan bersih RM12.9 bilion dengan pertumbuhan dana sebanyak 9.3 peratus.

“Iaitu pertumbuhan dana sebanyak 9.3 peratus. Jadi, kalau pun kita mohon supaya mereka (yang mengkritik) lebih waspada, kita harus lihat keseluruhannya (pencapaian pelaburan KWAP) dan kaedah tindakannya. Apakah KWAP ini hanya melabur di syarikat asing? Tidak benar.

“Kerana itu ‘startup’ Indonesia. Tapi ‘startup’ di Malaysia yang dilabur juga tinggi. Selain projek yang kita jana melalui usaha MOF, iaitu GEAR-uP, juga melibatkan KWAP, membabitkan RM30 bilion dana termasuk kepada syarikat Bumiputera.

“Jadi, saya mohon semua melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan tahunan melebihi 8.5 peratus,” katanya.

Isu pelaburan KWAP dalam eFishery menjadi perhatian selepas syarikat pemula teknologi itu didakwa terlibat dalam penipuan perakaunan yang membawa kepada kejatuhan operasinya.

Kes berkenaan kini turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meneliti keseluruhan proses pelaburan dan memastikan tiada unsur rasuah atau penyelewengan berlaku.

 

Berita berkaitan
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
10 jam lalu· Isu semasa
PRN NS: PH dakwa sudah lepasi sasaran pelaburan BN
11 jam lalu· Politik
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
13 jam lalu· Isu semasa
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
14 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
16 jam lalu · Isu semasa
Tarif AS tidak setinggi negara lain, rundingan akan tetap diteruskan: PMX
July 24, 2026 · Isu semasa
MB Negeri Sembilan: Tiada calon lain selain Tok Min
July 24, 2026 · Isu semasa
Kes tender PDRM: Saksi dedah bekas pegawai Hamzah rasa kecewa berhubung bayaran RM2 juta
July 23, 2026 · Isu semasa
Berita baik untuk rakyat, bantuan SARA akan dinaikkan pada masa terdekat
July 22, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
7 jam lalu
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS
12 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok