Perbicaraan Vivy Yusof: Saksi beritahu RM8 juta masuk dipindahkan ke akaun lain

July 20, 2026 · Isu semasa

Perbicaraan kes pecah amanah membabitkan pengasas FashionValet, Vivy Yusof dan suaminya, Fadzaruddin Shah Anuar, hari ini menyaksikan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diberitahu terdapat dua transaksi berjumlah keseluruhan RM8 juta dipindahkan daripada akaun FashionValet Sdn Bhd ke akaun syarikat, 30 Maple Sdn Bhd pada 21 Ogos 2018.

Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Bank Cawangan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Azizan Hassan, yang juga saksi pendakwaan pertama, mengesahkan hasil semakan terhadap penyata akaun 30 Maple mendapati wang sebanyak RM5 juta dan RM3 juta dipindahkan secara dalam talian daripada akaun Public Bank milik FashionValet pada hari sama.

Menurutnya, transaksi pertama melibatkan kemasukan RM5 juta dengan deskripsi menyatakan ia sebagai wang pendahuluan daripada FashionValet kepada 30 Maple, ketika baki akaun syarikat itu berjumlah RM2,678,853.48.

“Pada hari sama telah berlaku satu lagi transaksi kemasukan wang sebanyak RM3 juta dengan deskripsi yang sama. Saya juga sahkan baki sebelum kemasukan wang berjumlah RM3 juta ialah RM7,678,853.48,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Azizan turut memaklumkan akaun semasa 30 Maple didaftarkan pada 11 Jun 2018 dengan Vivy dan Fadzaruddin sebagai penandatangan yang diberi kuasa.

Beliau juga mengesahkan penyata akaun bagi September 2018 menunjukkan pengeluaran wang berjumlah RM10,213,537.28 pada 3 September 2018.

Pada tarikh sama, terdapat kemasukan RM5 juta ke dalam akaun syarikat itu, diikuti satu lagi pengeluaran RM5 juta pada 4 September 2018 yang direkodkan sebagai dividen interim atas nama Fadzaruddin Shah.

Keterangan saksi itu dikemukakan dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry dan Haresh Prakash Somiah.

Terdahulu, peguam M Athimulan yang mewakili pasangan berkenaan memohon penangguhan sesi soal balas terhadap saksi sehingga Jumaat ini kerana masih bercuti sakit. Mahkamah membenarkan permohonan itu.

Vivy dan Fadzaruddin sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah dana pelaburan milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta ketika menjadi pengarah FashionValet.

Mereka didakwa membuat pembayaran RM8 juta kepada 30 Maple tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FashionValet di Public Bank Cawangan Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018.

Bagi pertuduhan itu, pasangan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Mereka turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas dakwaan menyalahgunakan dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan serta denda.

Kes itu menjadi tumpuan kerana melibatkan dana pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), manakala pihak pendakwaan mendakwa pembayaran berkenaan dibuat tanpa mendapat kelulusan lembaga pengarah syarikat.

Perbicaraan bersambung Jumaat ini dengan sesi soal balas saksi pendakwaan pertama.

Berita berkaitan
Kes tender PDRM: Saksi dedah bekas pegawai Hamzah rasa kecewa berhubung bayaran RM2 juta
July 23, 2026· Isu semasa
Zizie Izette bebas tuduhan rasuah RM2.8 juta
July 20, 2026· Isu semasa
Nasib Zizie Izette dalam kes rasuah RM2.8 juta diputuskan esok
July 19, 2026· Isu semasa
Syed Saddiq bebas sepenuhnya, boleh berkahwin dengan Bella
July 13, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
15 jam lalu · Isu semasa
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
19 jam lalu · Isu semasa
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
20 jam lalu · Isu semasa
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
22 jam lalu · Isu semasa
Tarif AS tidak setinggi negara lain, rundingan akan tetap diteruskan: PMX
July 24, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
13 jam lalu
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS
18 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok