Mohamed Azmin Ali.
Dakwaan kononnya gagal membayar sewa pejabat di Solaris dinafikan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Mohamed Azmin Ali.
Azmin sebaliknya menjelaskan Ibu Pejabat PN di Solaris Dutamas di sini ditutup selepas perjanjian sewaan selama dua tahun tamat pada April 2025 dan penamatan sewaan itu dibuat atas persetujuan bersama dengan pemilik tanpa sebarang isu tunggakan bayaran.
“Perkara ini telah dimaklumkan dan mendapat persetujuan pimpinan tertinggi PN.
“Bagaimanapun pentadbiran dan urusan ibu pejabat PN masih beroperasi seperti biasa di bawah kendalian pegawai-pegawai dan kakitangan ibu pejabat di lokasi tidak rasmi sementara premis baharu sedang disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmin turut menafikan dakwaan sesetengah media penutupan ibu pejabat itu berpunca daripada kegagalan membayar sewa sejak Mac lalu.
Beliau menyifatkan laporan tersebut sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
Sebelum ini, sebuah media melaporkan pejabat utama PN ditutup selepas didakwa gagal menjelaskan bayaran sewa selama beberapa bulan.
Pejabat berkenaan sebelum ini menjadi lokasi utama mesyuarat Majlis Tertinggi PN sejak gabungan itu ditubuhkan pada 2020.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PN, Hamzah Zainudin ketika ditanya mengenai perkara tersebut tidak mengetahui status sebenar penutupan ibu pejabat berkenaan kerana urusan pengurusan dan pentadbiran pejabat adalah di bawah tanggungjawab Setiausaha Agung PN.
Anwar imbau detik di Penjara Sungai Buloh
DUN Melaka dijangka bubar hari ini, PRN semakin hampir
Zahid nafi dititah menghadap Tuanku Muhriz
Krisis takhta NS, Syahredzan nasihat jangan cabar institusi Raja sesuka hati
Ab Rauf titip tiga pesan sebelum DUN Melaka dibubar
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum