Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menyifatkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi berhubung kesediaan beliau dan menteri-menteri BN dipecat daripada Kabinet sebagai tidak wajar, malah dilihat seolah-olah mencabar kuasa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Aminuddin berkata sekiranya kenyataan itu benar seperti dilaporkan, ia tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kalau betul itu ucapan dia (Ahmad Zahid) saya rasa itulah satu cabaran.
“Saya rasa (kenyataan itu) tidak wajar diucapkan oleh seorang sahabat dan rakan baik kepada perdana menteri,” katanya ketika berkempen di Tanjung Agas, Linggi, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menegaskan keputusan melantik atau menggugurkan mana-mana anggota Kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri, selain menyatakan Anwar boleh memecat beliau serta lapan menteri BN lain sekiranya tidak lagi menyukai mereka.
Dalam program di Seremban semalam, Ahmad Zahid berkata kuasa melantik dan menggugurkan anggota Kabinet terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri.
“Kuasa pelantikan itu adalah hak mutlak perdana menteri. Jadi kalau perdana menteri mengesyaki ataupun dapat maklumat yang benar, itu adalah kuasa mutlak perdana menteri,” katanya.
Beliau turut menegaskan tidak melihat sebarang sebab untuk mana-mana daripada lapan menteri BN meletakkan jawatan susulan peringatan Perdana Menteri berhubung tindakan menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Isu itu timbul selepas Anwar pada Ahad memberi amaran kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan sepanjang kempen PRN.
Menurut Anwar, mana-mana pihak yang berbuat demikian perlu berundur daripada jawatan yang disandang.
Hubungan politik antara PH dan BN di peringkat negeri menjadi perhatian selepas kedua-dua gabungan itu bertanding sesama sendiri pada PRN Johor awal bulan ini. Di Negeri Sembilan pula, BN menjalin kerjasama pilihan raya dengan Perikatan Nasional (PN), dengan BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki kerusi ditandingi calon PN.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum