Kerjasama BN-PN tunggu masa karam, masing-masing berebut nak jadi ‘abang besar’

July 24, 2026 · Politik

DAP menyifatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hanya bersifat sementara apabila mengibaratkan gabungan itu seperti kapal Titanic yang menunggu masa untuk karam.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh mendakwa kerjasama berkenaan tidak dibina atas asas kepercayaan atau kesetiaan politik, sebaliknya lebih didorong kepentingan serta cita-cita setiap pihak untuk menguasai tampuk pemerintahan negara.

“Saya bandingkan kerjasama mereka seperti kapal dalam filem Titanic yang akan karam bila-bila masa sahaja. Mereka bersorak gembira pada awal pelayaran, namun akhirnya karam selepas melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat berada di depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Menurut Hannah, setiap parti dalam gabungan itu mempunyai agenda tersendiri sehingga sukar mewujudkan hubungan politik yang kukuh untuk jangka panjang.

“Masing-masing bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan akan memijak satu sama lain untuk naik ke atas. Mereka juga tidak mahu rakan kerjasama mereka berjaya. Yang mahu dijulang hanyalah pucuk kepimpinan masing-masing.

“Begitulah perumpamaan kerjasama BN dan PN hari ini. Mereka seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam kerana tidak memiliki nilai politik persahabatan,” katanya.

Pada masa sama, Hannah mendakwa Pakatan Harapan (PH) telah membuktikan kesetiaan dalam kalangan parti komponennya apabila PKR, DAP dan Amanah terus mempertahankan kepimpinan Anwar Ibrahim sehingga menjadi Perdana Menteri ke-10.

Katanya, kemenangan PH pada PRN Negeri Sembilan penting untuk mempertahankan nilai kesetiaan dan kerjasama yang menjadi asas gabungan itu.

“Nilai ini tidak ada dalam mana-mana kerjasama politik selain Pakatan Harapan. Kekalkan Harapan, akan kekallah kerajaan dan para pemimpin yang setia dengan nilai politik persahabatan ini,” katanya.

PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada 1 Ogos ini menyaksikan BN dan PN mencapai persefahaman dengan mengelakkan pertembungan sesama sendiri di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menerusi agihan kerusi, BN bertanding di 25 DUN, manakala parti dalam PN terdiri daripada PAS, Gerakan, Parti Wawasan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) bertanding di 11 kerusi.

PH pula mempertaruhkan calon di semua 36 kerusi, manakala Bersatu yang tidak menyertai kerjasama BN-PN meletakkan calon di 24 DUN.

Kerjasama BN-PN menjadi antara tumpuan utama PRN Negeri Sembilan kali ini susulan keputusan kedua-dua gabungan itu mengetepikan persaingan tradisi bagi memberi tumpuan kepada usaha menewaskan PH yang mempertahankan pentadbiran negeri sejak 2018.

Berita berkaitan
Fahmi: Politik sepatutnya menyatupadukan rakyat, tindakan pemimpin PAS dikritik
8 jam lalu· Politik
Selepas BN enggan kongsi manifesto, PN tampil dengan tawaran sendiri
8 jam lalu· Politik
Aminuddin dakwa manifesto BN tiru tawaran PH, salin dan tukar sahaja
8 jam lalu· Politik
BN-PN tak tergesa-gesa bentuk gabungan, UMNO berhati-hati dengan PAS
8 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Muhyiddin jangka kerjasama BN-PN sukar bertahan
10 jam lalu · Politik
PH yakin kekal kuasai DUN Pilah, namun enggan alpa
10 jam lalu · Politik
Pemuda Amanah lapor polis kenyataan Sanusi, dakwa boleh cetus ketegangan kaum
13 jam lalu · Politik
Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
13 jam lalu · Politik
PRN: Manifesto Bersatu untuk Negeri Sembilan, pertaruh 76 tawaran
16 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
13 jam lalu
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS
18 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok