Muhammad Sanusi Md Nor.
PKR Selayang menggesa semua pemimpin politik menghentikan naratif yang mengaitkan kaum tertentu dengan “negara asal” kerana ia hanya menghakis semangat perpaduan dan rasa memiliki dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ketuanya, Chua Wei Kiat menyifatkan kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi Md Nor semasa ceramah baru-baru ini tidak membantu menyatukan rakyat, sebaliknya hanya menyebabkan perpecahan antara kaum.
Sanusi terdahulu berkata “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China.”
“Sebagai pemimpin politik, tanggungjawab kita ialah mendamaikan keadaan, bukannya mengukuhkan persepsi kaum Cina dan India mempunyai ‘negara lain’.
“Bagaimana rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India mahu merasakan diri mereka benar-benar sebahagian daripada negara ini jika naratif seperti ini terus diulang?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Wei Kiat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang berkata masih terdapat sebahagian masyarakat Cina, khususnya generasi lebih tua, yang mengikuti perkembangan di China kerana faktor bahasa, budaya dan sejarah.
Namun, katanya, hakikatnya masyarakat Cina di Malaysia telah menerima identiti mereka sebagai rakyat Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan.
Beliau turut mengakui masih terdapat segelintir masyarakat Cina yang merasakan sumbangan mereka kepada negara tidak diiktiraf sepenuhnya, walaupun mereka membayar cukai dan bekerja keras membangunkan ekonomi.
“Apabila ahli politik menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan, sedikit demi sedikit ia menghakis rasa memiliki terhadap negara. Ironinya, apabila perkara itu berlaku, mereka pula dilabel sebagai tidak patriotik,” katanya.
Wei Kiat turut membandingkan sentimen masyarakat Cina terhadap China dengan solidariti masyarakat Melayu Islam terhadap Palestin.
Menurutnya, kedua-duanya mempunyai asas hubungan tersendiri sama ada melalui budaya, bahasa atau agama, namun ia tidak mengubah hakikat kesetiaan rakyat Malaysia terhadap negara ini.
Beliau turut memberi contoh semangat perpaduan yang ditunjukkan rakyat biasa tanpa mengira kaum.
Katanya, seorang mekanik Melayu sanggup membantu seorang bapa tunggal Cina yang motosikalnya rosak pada waktu malam, manakala seorang pemandu lori berbangsa Cina pernah mempertaruhkan nyawa menghentikan sebuah bas ekspres yang hilang kawalan demi menyelamatkan 21 penumpang.
“Hakikatnya, rakyat Malaysia sedar ini bukan soal kaum, sebaliknya nilai belas kasihan dan semangat saling membantu sesama rakyat. Belajarlah daripada rakyat,” katanya.
Muhyiddin jangka kerjasama BN-PN sukar bertahan
PH yakin kekal kuasai DUN Pilah, namun enggan alpa
Pemuda Amanah lapor polis kenyataan Sanusi, dakwa boleh cetus ketegangan kaum
Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
PRN: Manifesto Bersatu untuk Negeri Sembilan, pertaruh 76 tawaran
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS