Tawaran Bersatu Demi Nismilan
Bersatu melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menggariskan 76 tawaran di bawah sembilan tunjang utama, termasuk sasaran mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun jika diberi mandat membentuk kerajaan negeri.
Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata manifesto bertemakan “Tawaran Bersatu Demi Nismilan” itu dirangka selepas mengambil kira keperluan rakyat, potensi ekonomi negeri serta keunikan Adat Perpatih.
Menurutnya, manifesto berkenaan menjadi bukti kesediaan Bersatu mentadbir Negeri Sembilan sekiranya memenangi PRN.
“Tawaran ini meliputi semua rakyat daripada kanak-kanak, pelajar, anak muda, usahawan, wanita hinggalah warga emas. Tiada sesiapa akan dipinggirkan,” katanya ketika melancarkan manifesto itu di Seremban pada Sabtu.
Antara fokus utama manifesto ialah memperkukuh tadbir urus negeri dengan mewujudkan jawatankuasa khas terdiri daripada profesional anak Negeri Sembilan bagi memantau pelaksanaan semua janji manifesto, selain mencadangkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.
Dalam aspek ekonomi, Bersatu menyasarkan 50,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi menerusi pembangunan Koridor Industri Halal Negeri Sembilan, Koridor Logistik serta industri tenaga hijau, kecerdasan buatan (AI) dan kenderaan elektrik di bawah Malaysia Vision Valley 2.0.
Manifesto itu turut menawarkan Dana Nismilan Niaga Prihatin bernilai RM5 juta bagi pinjaman mikro tanpa faedah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain pengecualian sewa selama dua tahun kepada penjaja berdaftar di pasar milik pihak berkuasa tempatan.
Dalam sektor pendidikan pula, Bersatu berjanji menubuhkan Nismilan EduFund bernilai RM25 juta, Dana Prihatin Pendidikan RM20 juta, bantuan tunai kepada keluarga berpendapatan rendah serta bantuan pengangkutan RM50 sebulan kepada 2,000 pelajar.
Bagi golongan belia, manifesto itu menawarkan penubuhan Hab Digital Nogori, dana sehingga RM50,000 kepada syarikat pemula, skim bantuan kepada penghantar p-hailing, latihan juruterbang dron serta insentif RM500 kepada pasangan pengantin baharu yang layak.
Turut diumumkan ialah penubuhan Dana Rumah Rakyat Negeri Sembilan berjumlah RM100 juta bagi membina rumah mampu milik melalui skim sewa untuk milik, selain bantuan sehingga RM5,000 untuk pembeli rumah pertama.
Dalam bidang kesihatan dan kebajikan, Bersatu mencadangkan penubuhan dana penyakit kritikal RM25 juta, Dana Skim Sihat Negeri Sembilan RM10 juta, bantuan kepada warga emas, ibu tunggal serta pesakit kronik.
Muhyiddin turut memberi jaminan manifesto berkenaan realistik dan mampu dilaksanakan jika Bersatu memperoleh mandat rakyat.
“Berbekalkan pengalaman, kepakaran dan komitmen kepimpinan Bersatu, kami yakin semua tawaran ini dapat dilaksanakan dengan cepat, cekap dan telus demi manfaat rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
PRN Negeri Sembilan diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri bagi memilih kerajaan negeri baharu.
Muhyiddin jangka kerjasama BN-PN sukar bertahan
PH yakin kekal kuasai DUN Pilah, namun enggan alpa
Pemuda Amanah lapor polis kenyataan Sanusi, dakwa boleh cetus ketegangan kaum
Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
Selepas Zahid minta jangan datang NS, Sanusi sedia saman pihak manipulasi kenyataan
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS