Kerjasama BN-PN, mampukah bertahan?
Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu tergesa-gesa membentuk gabungan politik, sebaliknya perlu memberi ruang kepada persefahaman yang sedang dilaksanakan di Negeri Sembilan untuk dinilai terlebih dahulu.
Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan berkata, kerjasama yang dijalinkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini perlu dilihat dari sudut keberkesanan, penerimaan pengundi serta kesan terhadap keputusan pilihan raya sebelum sebarang langkah lebih besar dipertimbangkan.
Menurutnya, pendekatan terbaik ialah bergerak secara berperingkat tanpa terburu-buru.
“Orang tua-tua kata, duduklah dulu elok-elok. Esok nak lunjurkan kaki, barulah berlunjur. Langkahlah setapak demi setapak, jangan terus nak berlari.
“Jika persefahaman ini satu formula yang berjaya, kita berpegang kepada itulah. Mengapa kita nak ubah-ubah? Jika formula itu berjaya, maknanya penerimaannya bagus,” katanya dipetik dalam Podcast Utama Buletin TV3 sempena PRN Negeri Sembilan.
Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengerusi BN Negeri Sembilan, mengulas sama ada persefahaman antara BN dan PN pada PRN kali ini akan dikembangkan menjadi gabungan rasmi menjelang pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, sekiranya keputusan PRN tidak memihak kepada formula itu, kedua-dua pihak perlu meneliti puncanya terlebih dahulu dan bukannya terus membuat keputusan membentuk gabungan baharu.
“Jika persefahaman di Negeri Sembilan ini tidak menunjukkan keputusan yang baik, kita kaji sebabnya dan tidak perlu tergesa-gesa untuk menubuhkan satu gabungan,” katanya.
Mohamad menjelaskan, persefahaman tersebut merupakan satu ujian bagi mengelakkan perpecahan undi Melayu yang menurutnya menjadi antara faktor kekalahan BN di tujuh kerusi pada PRN Negeri Sembilan sebelum ini, iaitu Sikamat, Ampangan, Paroi, Labu, Kuala Klawang, Pilah dan Gemas.
Menurut beliau, pertandingan tiga atau empat penjuru melibatkan parti-parti teras Melayu hanya merugikan semua pihak.
“Kita kalah disebabkan orang Melayu berpecah, disebabkan banyak sangat parti teras Melayu yang bertanding sampai tiga atau empat penjuru.
“Jadi apa salahnya kita buat persefahaman. Kau menang di situ, kau bertandinglah. Di tempat aku, aku menang, jadi aku bertanding,” katanya.
Mengulas pengalaman lalu, Mohamad berkata beberapa usaha menyatukan parti-parti Melayu pernah dilakukan menerusi Muafakat Nasional (MN) serta kerjasama dalam PN, namun tidak dapat bertahan.
Justeru, beliau berpandangan persefahaman lebih praktikal berbanding memaksa semua pihak berada dalam satu gabungan sehingga menjejaskan identiti parti masing-masing.
“Lebih baik buat persefahaman sahaja daripada bertembung yang menjadi sebab utama BN kalah dan politik Melayu gagal.
“Jika kita tidak terikat, kita boleh laksanakan dasar kita dan begitu juga dengan rakan kita. Di situ nanti, kita gaul, gubal elok-elok supaya dapat diurus dengan baik, tanpa menjejaskan identiti parti masing-masing,” katanya.
PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan BN dan PN mengambil pendekatan mengelakkan pertembungan di beberapa kerusi sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan perpecahan undi, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, sekali gus menjadikan keberkesanan formula itu antara tumpuan utama pemerhati politik.
Muhyiddin jangka kerjasama BN-PN sukar bertahan
PH yakin kekal kuasai DUN Pilah, namun enggan alpa
Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
PRN: Manifesto Bersatu untuk Negeri Sembilan, pertaruh 76 tawaran
Selepas Zahid minta jangan datang NS, Sanusi sedia saman pihak manipulasi kenyataan
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS