Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mendakwa bibit ketegangan dalam kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sudah mula kelihatan walaupun persefahaman itu masih di peringkat awal.
Beliau berkata, perkembangan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana kerjasama berkenaan didakwanya dibentuk atas kepentingan politik untuk merebut kuasa, bukannya berasaskan matlamat bersama.
“Saya sudah jangka, belum apa-apa lagi. Hari itu dikatakan ini satu gabungan tapi ini bukan gabungan sebenarnya. Satu pihak keluarkan kenyataan, disanggah pula oleh pihak lain dalam susunan yang baharu.
“Saya buat ramalan, ini adalah untuk kepentingan masing-masing. Kepentingan itu tidak semestinya untuk tujuan yang sama. Pokoknya, mereka bekerjasama untuk kuasa. Ada nampak PAS bercakap mengenai soal ekonomi atau sosial? Yang ada, keluar hukum-hakam entah dari mana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Manifesto BERSATU Demi Nismilan di Seremban, hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu turut mempersoalkan tindakan Hamzah yang juga Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN) mengemukakan cadangan penjenamaan kerjasama BN-PN sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).
Menurutnya, Hamzah bukan Pengerusi PN dan kenyataan seperti itu tidak sewajarnya dibuat tanpa persetujuan bersama kedua-dua gabungan.
“Siapa Hamzah Zainudin yang nak mengatakan ‘Perikatan Barisan Nasional’…itu pun dia dah kena ‘sembelih’, BN tak setuju. Saya tahu kerana saya pernah berada di situ, macam mana nak menguruskan soal PN.
“Kerjasama BN-PN dilihat bertujuan mengisi kepentingan masing-masing yang ingin berebut kuasa,” katanya.
Sebelum ini, Hamzah mencadangkan penggunaan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) sebagai identiti kerjasama antara PN dan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Cadangan itu bagaimanapun tidak dipersetujui kepimpinan BN termasuk Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum ini, BN menjalin persefahaman dengan PN pada PRN di Negeri Sembilan bagi memastikan tiada pertembungan kerusi sesama sendiri meski masih menjalin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan persaingan sengit antara gabungan parti utama negara dengan pengundian awal dijadualkan berlangsung pada 28 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.
Kerjasama BN-PH bukan kontrak sampai mati
Sanusi memang gemar keluar kenyataan pelik
Aminuddin minta buktikan mana projek PH yang tertinggal
Calon PH DUN Ampangan tumpu penyelenggaraan infrastruktur
Fahmi: Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik