PRN Negeri Sembilan.
Istana Negeri Sembilan mengingatkan semua parti politik supaya tidak mengaitkan institusi diraja dalam ceramah atau kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali menegaskan institusi diraja kekal berkecuali serta tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
Beliau berkata peranan institusi raja adalah sebagai payung perpaduan rakyat selain memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.
“Institusi Raja adalah payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.
“Sehubungan itu, Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.
“Sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atau mana-mana Ahli Kerabat Diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau turut menggesa semua calon bertanding mengelakkan isu 3R membabitkan agama, kaum serta raja sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, setiap kempen perlu dijalankan secara berhemah, beretika serta mematuhi undang-undang demi memastikan keharmonian negeri terus terpelihara.
Azizi turut merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak dalam memastikan institusi diraja terus dihormati serta tidak dijadikan bahan eksploitasi bagi kepentingan politik.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak disahkan berkaitan Istana Negeri Sembilan.
Sebarang maklumat rasmi, katanya, perlu dirujuk menerusi saluran rasmi istana.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika kempen PRN Negeri Sembilan memasuki fasa akhir, susulan beberapa isu berkaitan institusi diraja dibangkitkan dalam ceramah politik sejak kebelakangan ini.
Hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos.
Ringgit dibuka tinggi menjelang PRN Negeri Sembilan: Bernama
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
[VIDEO] Khalid Samad lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih