Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak pernah mengarahkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya hanya memohon sokongan mereka.
Pengerusi BN itu berkata, permohonan tersebut dibuat dengan harapan pengundi awal memberi peluang kepada calon gabungan itu, sambil memberi jaminan kebajikan anggota keselamatan serta keluarga mereka akan terus diberi perhatian jika BN diberi mandat.
“Saya tidak mengeluarkan sebarang arahan, tetapi sebagai Pengerusi BN, saya memohon supaya pihak yang mengundi awal berikanlah peluang kepada calon-calon BN untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan.
“Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk mereka dan keluarga mereka apabila keputusan memperlihatkan pada 1 Ogos nanti undi-undi awal itu memihak kepada calon-calon BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026 di Bandar Sri Sendayan, hari ini.
Ahmad Zahid berkata BN komited meneruskan usaha menjaga kebajikan warga ATM, PDRM dan keluarga mereka sekiranya gabungan itu diberi kepercayaan membentuk kerajaan negeri selepas PRN16.
Esok, seramai 22,339 pengundi awal membabitkan anggota PDRM dan ATM bersama pasangan akan menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN Negeri Sembilan ke-16 itu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad dilaporkan berkata jumlah itu melibatkan 5,455 pegawai dan anggota PDRM serta 16,884 anggota ATM bersama pasangan yang layak mengundi.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan pengundian awal berlangsung pada 28 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos, melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Pasukan Peguam PH dakwa wujud asas undang-undang siasat Asyraf Wajdi
PMX dedah 50 ekar bandar diisytihar tanah rizab Melayu, nafi abai Bumiputera
PAS yang khianat, tapi kini persoal Bersatu masih mahu kekal dalam PN
PKR tidak perlu bersaing politik identiti
Isu kaum dan agama hanya retorik kempen selepas kehabisan modal: Tze Tzin
[VIDEO] Khaled Nordin lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih