Malaysia kini hanya 7.1 peratus lagi ke status negara berpendapatan tinggi

July 28, 2026 · Isu semasa

Malaysia kini hanya 7.1 peratus di bawah ambang negara berpendapatan tinggi yang ditetapkan Bank Dunia susulan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pencapaian itu memberi petunjuk positif, namun kerajaan memberi tumpuan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, peluang pekerjaan berkualiti dan pendapatan rakyat yang lebih baik.

“Ekonomi berkembang 5.8 peratus, inflasi kekal terkawal pada 1.9 peratus manakala kadar pengangguran berada pada 3.0 peratus. Malaysia kini hanya 7.1 peratus di bawah ambang negara berpendapatan tinggi.

“Ini merupakan angka yang menggalakkan, namun mencapai ambang tersebut bukan matlamat akhir. Yang lebih penting ialah memastikan pertumbuhan ekonomi menghasilkan gaji yang lebih baik, lebih banyak pekerjaan berkualiti serta kuasa beli rakyat yang lebih kukuh,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran laporan Tinjauan Ekonomi Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD): Malaysia 2026.

Beliau berkata, laporan bebas berasaskan bukti itu akan dijadikan rujukan dalam memperkukuh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, di samping mempercepat reformasi struktur ekonomi negara.

Menurutnya, pada 2025, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita Malaysia meningkat kepada RM57,200 atau kira-kira AS$13,351, berbanding ambang negara berpendapatan tinggi Bank Dunia sebanyak AS$14,375.

Akmal berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan menerusi penyelarasan kurikulum dengan keperluan industri serta memperluas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Academy in Industry (AiI) dan program peningkatan kemahiran dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) serta ekonomi digital.

“Apabila 35.6 peratus pekerja berpendidikan tinggi masih bekerja dalam pekerjaan di bawah tahap kemahiran mereka, kejayaan sistem pendidikan tidak boleh dinilai berdasarkan bilangan graduan semata-mata.

“Pendidikan dan latihan perlu diterjemahkan kepada pekerjaan bernilai tinggi, produktiviti yang lebih kukuh serta gaji yang setimpal dengan kemahiran pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata defisit fiskal Persekutuan berjaya dikurangkan daripada 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 kepada 3.7 peratus pada 2025, dengan sasaran menurunkannya kepada tiga peratus atau lebih rendah menjelang 2030.

“Kita telah mengurangkan defisit daripada 5.5 peratus kepada 3.7 peratus dan menyasarkan tiga peratus atau lebih rendah menjelang 2030.

“Konsolidasi fiskal bukan bermaksud mengurangkan sokongan kepada rakyat, sebaliknya memastikan setiap ringgit digunakan dengan lebih berkesan bagi pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan produktiviti negara, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 menetapkan sasaran mengurangkan beban kawal selia yang tidak perlu sebanyak 25 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), kerajaan turut meneliti proses kelulusan perniagaan berimpak tinggi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Tinjauan Ekonomi OECD: Malaysia 2026 merupakan kajian ekonomi kelima OECD mengenai Malaysia sejak 2016. Laporan itu dijangka menjadi antara rujukan utama dalam pelaksanaan RMK13, khususnya bagi meningkatkan produktiviti, pembangunan kemahiran, pendigitalan dan daya tahan ekonomi negara terhadap cabaran masa depan.

Berita berkaitan
AI bakal cipta 500,000 pekerjaan menjelang 2030 – Fahmi
September 8, 2026· Isu semasa
KDNK naik, rakyat mesti turut rasa manfaat: Menteri Ekonomi
August 14, 2026· Isu semasa
Pemegang kad UNHCR tetap tertakluk kepada undang-undang
July 13, 2026· Isu semasa
PH Simpang Renggam lapor polis dakwa Onn Hafiz berkempen dalam program TVET
July 9, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Bekas COO Tabung Haji didakwa terima kos ubah suai RM302,499: Bernama
September 24, 2026 · Isu semasa
Malaysia terus terbuka pelaburan teknologi China: Anwar
September 24, 2026 · Isu semasa
Eksploitasi seksual kanak-kanak: MCMC, PDRM tingkat kerjasama
September 24, 2026 · Isu semasa
JPJ nafi hantaran tular berkait lesen kepada Rohingya, buat laporan MCMC: Bernama
6 jam lalu · Isu semasa
RM33.4 juta bunga ganja dirampas, 12 ditahan: Polis Selangor
24 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok