Pakatan Harapan (PH) menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dengan unjuran terbaik antara 21 hingga 22 kerusi.
Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari berkata sasaran itu dibuat berdasarkan perkembangan kempen semasa serta prestasi gabungan berkenaan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
“Kita cuba sedaya upaya untuk dapat minimum 19, dan kalau ada kemampuan yang lebih, kita mungkin boleh dapat antara 21 hingga 22. Itu jangkaan terbaik kita.
“Namun, kita percaya pada kebijaksanaan pengundi dan meneruskan kempen kerana kita melihat konsistensi sejak 2018,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, malam tadi.
Beliau berkata, rekod pentadbiran Menteri Besar, Aminuddin Harun sepanjang dua penggal turut memberi keyakinan kepada PH untuk mempertahankan kerajaan negeri.
Mengulas dakwaan kononnya wujud ‘gelombang biru’ dari Johor mampu mempengaruhi keputusan PRN Negeri Sembilan, Amirudin menyifatkan naratif itu sengaja dimainkan bagi mempengaruhi sentimen pengundi.
Katanya, PH sebaliknya akan terus menawarkan agenda Malaysia MADANI serta memperkukuh perpaduan rakyat sebagai teras kempen.
“Sudah pasti itu cuba dicipta oleh pembangkang sekarang, tapi di sini kita mempunyai sejarah kepimpinan dan juga tokoh besar sendiri.
“Kita akan cuba mengetengahkan solusi ataupun pandangan kita untuk mengetengahkan konteks MADANI, kesatuan rakyat sebagai solusi berbanding dengan retorika perpaduan mana-mana kaum,” katanya.
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN, dengan parti politik memerlukan sekurang-kurangnya 19 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Esok, seramai 867,151 pemilih akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu selepas DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN.
Sebelum ini, 14,995 pengundi awal atau 91.06 peratus sudah selesai mengundi pada Selasa.
PRN NS: Pengundi atas pagar, lapan kerusi marginal penentu kemenangan esok
AGC jamin siasatan RCI Tabung Haji bebas pengaruh politik, tiada kompromi
859,750 pengundi Negeri Sembilan tentukan nasib 36 kerusi DUN esok
Bersatu dakwa PAS guna logo PN sekadar ‘topeng’ untuk tarik undi bukan Melayu
Syed Saddiq: RCI TH bukan lesen bersihkan pemimpin terdahulu meskipun tiada ‘sakau’
[VIDEO] NGO Melayu N9 seru rakyat pertahan kestabilan dan agenda pembangunan, tolak fitnah dan sentimen kaum
[VIDEO] Jangan guna laporan RCI untuk bersihkan pemimpin salah tadbir TH walaupun tiada ‘sakau’