Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung esok dijangka menyaksikan persaingan sengit apabila antara 12 hingga 18 peratus pengundi masih belum membuat keputusan, sekali gus meletakkan kumpulan pengundi atas pagar sebagai faktor utama yang bakal menentukan pembentukan kerajaan negeri.
Kajian terbaharu Pusat Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDERC) mendapati tiada mana-mana gabungan politik mempunyai laluan mudah untuk menguasai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan keputusan dijangka hanya dapat dipastikan selepas semua undi dikira.
Menurut IDERC, walaupun 63.4 peratus responden sudah menetapkan pilihan mereka, hampir satu pertiga lagi membuat keputusan pada saat akhir, termasuk 14.8 peratus yang hanya memuktamadkan undi pada hari pengundian.
“Dapatan ini menunjukkan kempen sebenarnya masih belum berakhir kerana pengundi atas pagar dan mereka yang membuat keputusan pada saat akhir masih boleh dipengaruhi oleh kredibiliti calon, isu tempatan, kos sara hidup, prestasi kerajaan serta perkembangan kempen di penghujung saingan,” menurut kajian itu.
Kajian sama menganggarkan kadar keluar mengundi berada antara 68 hingga 70 peratus.
Seramai 62.3 peratus responden menyatakan mereka pasti akan mengundi, manakala 24 peratus lagi berkemungkinan besar akan menunaikan tanggungjawab tersebut.
Bagaimanapun, IDERC menjelaskan kadar keluar mengundi sebenar masih bergantung kepada beberapa faktor termasuk keupayaan jentera parti menggerakkan penyokong, keadaan cuaca, kemudahan pengangkutan dan perkembangan terakhir sebelum pusat mengundi dibuka.
Kajian itu turut menunjukkan pengundi Melayu mencatat komitmen keluar mengundi paling tinggi iaitu 66.7 peratus, berbanding pengundi India sebanyak 56.6 peratus dan Cina 56.1 peratus.
“Perbezaan ini berpotensi memberi kesan besar di kawasan campuran. Parti yang bergantung kepada sokongan pengundi bukan Melayu perlu memastikan penyokong mereka benar-benar hadir, khususnya di kerusi bandar dan separa bandar yang mempunyai persaingan rapat,” menurut IDERC.
Sementara itu, pengundi muda berusia antara 18 hingga 30 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan paling sukar digerakkan apabila hanya 51.8 peratus menyatakan mereka pasti akan keluar mengundi, lebih rendah berbanding kumpulan umur yang lebih tua.
IDERC turut mengingatkan keputusan pilihan raya tidak boleh diukur berdasarkan sokongan popular semata-mata kerana faktor seperti taburan pengundi, kekuatan calon, isu setempat dan kadar keluar mengundi di setiap DUN mampu menghasilkan keputusan yang berbeza.
Malah, sebanyak lapan kerusi marginal dijangka menjadi medan penentu pembentukan kerajaan negeri kerana perubahan kecil dalam kadar keluar mengundi atau peralihan beberapa ratus undi sahaja mampu mengubah keseimbangan kuasa.
PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan seramai 859,750 pengundi berdaftar layak mengundi bagi memilih 36 Ahli Dewan Undangan Negeri.
PRN NS: PH sasar menang minimum 19 kerusi
Prestasi ekonomi bukti PH wajar terus pimpin Negeri Sembilan
AGC jamin siasatan RCI Tabung Haji bebas pengaruh politik, tiada kompromi
Syed Saddiq: RCI TH bukan lesen bersihkan pemimpin terdahulu meskipun tiada ‘sakau’
RCI TH didedah ikut proses, tunggu persetujuan Kabinet nyahklasifikasi: Fahmi
[VIDEO] NGO Melayu N9 seru rakyat pertahan kestabilan dan agenda pembangunan, tolak fitnah dan sentimen kaum
[VIDEO] Jangan guna laporan RCI untuk bersihkan pemimpin salah tadbir TH walaupun tiada ‘sakau’